Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 25 Jun 2014

27.3 peratus rakyat Kelantan perokok

KOTA BHARU: Meskipun terkenal dengan jolokan Serambi Mekah dan konsep bandar raya Islam tetapi tabiat penduduk negeri ini tidak menggambarkan sedemikian apabila mempunyai peratus kadar perokok yang tinggi berbanding peringkat kebangsaan.

Setiausaha Kerajaan negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, Kajian Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2006 mendapati 27.3 peratus penduduk Kelantan yang menjadi perokok berbanding kadar 24.8 peratus rakyat Malaysia yang mengamalkan tabiat buruk itu.

Beliau berkata, keadaan ini mesti dipandang serius lebih-lebih lagi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-37 1996 telah memutuskan merokok adalah haram kerana membawa kemudaratan.

"Saya amat menyokong usaha Jabatan Kesihatan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya dan risiko penyakit akibat merokok serta kebaikan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Saya menyeru semua pihak memberi kerjasama agar usaha kawalan tembakau dapat dijalankan secara bersepadu dan mencadangkan agar aktiviti promosi kesihatan terhadap bahaya asap rokok kepada murid sekolah rendah dipergiatkan lagi.

"Inisiatif memperluaskan kawasan larangan merokok juga perlu menjadi keutamaan dan kerajaan negeri dalam proses mewujudkan zon-zon terpilih pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk diwartakan sebagai zon bebas asap di bawah Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR)," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan Hari Tanpa Tembakau dan Pelancaran Kempen Cara Hidup Sihat peringkat negeri Kelantan 2014 anjuran Jabatan Kesihatan negeri di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Adnan Hussein.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Kelantan telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM63,720 kepada 699 individu yang merokok di kawasan larangan merokok di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya juga telah membuat rampasan produk tembakau berjumlah RM4,061 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Sehingga Mei tahun ini, kita telah mengeluarkan 231 kompaun berjumlah RM24,655 di samping merampas produk tembakau berjumlah RM566 setakat ini.

"Jumlah ini masih sedikit berbanding bilangan sebenar perokok namun kita berusaha melipatgandakan lagi penguatkuasaan di samping membantu golongan yang ingin berhenti merokok melalui klinik berhenti merokok yang terdapat di setiap klinik kesihatan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 24 Jun 2014 | Terbitan 25 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan