Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 25 Jun 2014

Hidroelektrik Pergau: Kelantan tandatangani perjanjian baharu

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan menandatangani perjanjian baharu dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) terhadap penggunaan tanah oleh syarikat utiliti terbabit di Empangan Hidroelektrik Pergau, Jeli.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, sekarang TNB membayar sebanyak RM513,000 setahun terhadap tanah yang terbabit dengan terowong di Empangan Pergau.

“Bagaimanapun TNB tidak berminat untuk memiliki sepenuhnya tanah di kawasan berkenaan dan hanya membayar penggunaan secara tahunan,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Rasul Mohamed (PAS-Bukit Tuku) pada persidangan Dun hari ini.

Pada 2011 kerajaan Kelantan pernah menuntut tunggakan daripada TNB terhadap bayaran kawasan tadahan air di Empangan Hidro Elektrik Pergau semenjak 1990.

Tuntutan tersebut adalah selaras dengan perjanjian asal antara kerajaan negeri dengan TNB. Empangan Hidro Elektrik Pergau membabitkan kawasan seluas 37,000 hektar dengan kawasan takungan seluas 400 hektar.

Empangan Hidro Elektrik mampu membekalkan tenaga sebanyak 600MW. Malah pada awal pembinaan projek empangan Pergau yang bernilai RM1.8 bilion, kerajaan negeri menuntut bayaran pampasan pengambilan tanah bernilai hampir RM90 juta.

Keengganan TNB membayar jumlah pampasan itu menyebabkan kerajaan negeri menahan jentera berat daripada memasuki kawasan pembinaan terowong peralihan air di KM 24, Lebuh Raya Timur - Barat.

Sementara itu menjawab soalan Adun sama, Menteri Besar berkata, kadar premium tanah yang dikenakan kerajaan negeri terhadap lot kebun getah kurang RM500 sehektar. Manakala lot dusun kurang RM300 sehektar dan lot padi kurang RM50 sehektar. 

Sumber: Harakah Daily | 24 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan