Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 7 Jun 2014

Pusat hemodialisis baharu di Bachok

Ahmad Razin Ahmad Mahir (dua kiri) meninjau proses rawatan dialisis oleh pesakit buah pinggang selepas mengadakan solat hajat sempena perasmian Pusat Hemodialisis Komuniti di Klinik Kesihatan Mahligai, Bachok, Kelantan, kelmarin.
BACHOK: Jabatan Kesihatan negeri memperuntukkan lebih RM1.1 juta bagi membolehkan Pusat Hemodialisis Komuniti yang diperlukan pesakit buah pinggang di daerah ini diwujudkan di pekarangan Klinik Kesihatan Mahligai, dekat sini yang mula beroperasi semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, pembinaan pusat berkenaan bermula Oktober 2013 dan siap sepenuhnya pada Mei lepas dengan membabitkan kos pengubahsuaian bangunan klinik lama membabitkan perbelanjaan sebanyak RM789,000 manakala RM333,352 adalah kos pembelian peralatan yang diperlukan pesakit.

Beliau berkata, sebelum ini pesakit buah pinggang di daerah ini yang memerlukan rawatan hemodialisis terpaksa ke Hospital Raja Pe­rempuan Zainab II (HRPZII) atau ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana daerah ini masih ketiadaan kemudahan hospital.

"Pusat Hemodialisis Komuniti di Bachok adalah rangkaian daripada perkhidmatan HPRZII yang memberi kemudahan rawatan secara berkala kepada pesakit setempat," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan solat hajat bersama kira-kira 100 penduduk setempat sempena pembukaan rasmi pusat berkenaan dekat sini semalam.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Wan Mansor Wan Hamzah; Pegawai Kesihatan Bachok, Dr. Hasniza Abdullah; pakar nefrologi, Dr. Wan Hasnul Halimi Wan Hassan dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Mahligai, Md. Noor Daud.

Ahmad Razin berkata, waktu operasi pusat berkenaan adalah mulai pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang dengan penyediaan lima buah mesin dialisis dan enam orang petugas iaitu dua penolong pegawai perubatan, dua jururawat dan dua pembantu perawatan kesihatan.

Beliau berkata, setakat ini seramai 16 pesakit buah pinggang mendaftar untuk mendapatkan rawatan di unit berkenaan dan untuk operasi bulan pertama akan dimulakan dengan empat pesakit terlebih dahulu sehingga pesakit ditambah secara berperingkat yang diselia secara khusus oleh pakar.

Menurutnya, sehingga April tahun ini seramai 1,023 orang pesakit kronik buah pinggang menjalani rawatan hemodialisis di mana 425 orang daripada mereka menjalani rawatan di Pusat Dialisis Komuniti seluruh daerah dan 598 lagi mendapatkan rawatan yang sama di pusat dialisis swasta.

"Semua unit hemodialisis Kementerian Kesihatan terletak di hospital daerah masing-masing. Oleh kerana Bachok masih belum mempunyai hospital, kementerian mengambil inisiatif mewujudkan kemudahan berkenaan di perkarangan Klinik Kesihatan Mahligai," katanya.

Ahmad Razin berkata, perkhidmatan rawatan hemodialisis kian meningkat termasuk oleh pesakit di pinggir bandar dan pedalaman berikutan peningkatan penyakit kencing manis dan hipertensi yang menyebabkan kegagalan ginjal dan jantung.

Sehubungan itu katanya, jabatan turut menjalankan kempen gaya hidup sihat menerusi pelbagai pendekatan dalam komuniti secara berterusan dalam usaha mengekang peningkatan penyakit kronik.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 6 Jun 2014 | Terbitan 7 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan