Azham (tengah) menunjukkan dadah jenis pil kuda yang turut berjaya dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sabak kelmarin. |
KOTA BHARU: Taktik pasangan lelaki dan wanita separuh abad, menjadikan sebuah rumah di Kampung Sabak, Kemumin sebagai pusat jualan dadah, berjaya dipatahkan dalam serbuan, di sini pagi kelmarin.
Dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 11.30 pagi itu, polis menemui seorang lelaki dan wanita dipercayai bertindak sebagai pengedar dadah sedang memasukkan dadah dalam plastik untuk dijual di pasaran tempatan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan di rumah tersebut, turut berjaya merampas 19 botol plastik cerah berisi serbuk yang dipercayai dadah jenis Heroin seberat 57 gram, 2,178 pil warna hijau disyaki dadah jenis Yaba (Metaphitamine) seberat 222 gram dan tiga plastik cerah berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat dua gram.
“Kesemua dadah yang berjaya dirampas bernilai hampir RM100,000 dan kita percaya, mereka melakukan kegiatan terbabit bersama sejak setahun lalu.
“Rumah terbabit yang dipercayai merupakan milik wanita itu, dijadikan tempat simpanan bekalan dadah sebagai persediaan untuk pelanggan tetap yang sering mendapatkan bekalan bahan terlarang berkenaan di rumah terbabit,” katanya kepada sidang media.
Azham berkata, lelaki terbabit yang berusia 56 tahun dan wanita berusia 42 tahun itu ditahan reman untuk siasatan lanjut selama tujuh hari kelmarin, di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah jenis pil kuda dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kedua-duanya tidak mempunyai pekerjaan dan giat menjalankan perniagaan menjual dadah untuk pasaran tempatan dan dipercayai memperoleh bekalan dari negara jiran," katanya.
Azham menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika terdapat sebarang aktiviti pengedaran dadah atau penagihan di kawasan sekitar dengan segera bagi membanteras kegiatan itu.
“Gejala penagihan dadah di Kelantan semakin menular dan kita harap masyarakat terus bersama-sama polis menangani isu ini supaya dapat menyelamatkan masa depan golongan muda," katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 13 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan