Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 8 Jun 2014

38 individu ditahan, 16 positif dadah di Kuala Krai

Sebahagian daripada 38 lelaki ditahan dalam Ops Perdana di Kuala Krai.
KUALA KRAI: Seramai 38 individu termasuk remaja berusia 13 tahun ditahan dalam Ops Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Krai yang dijalankan pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Pegawai AADK Kuala Krai, Ab Rahman Ab Razak berkata, semua yang ditahan menjalani ujian saringan urin dan 16 daripadanya didapati positif dadah.

Menurutnya, daripada jumlah didapati positif dadah, 11 daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine (pil kuda) manakala lima lagi didapati positif dadah jenis opiat.

"Kawasan 'hot spot' untuk operasi ini ialah Mengkebang dan Padang Sembilang, Pahi. Bagi semua kes positif ujian saringan, sampel urin akan dihantar ke unit patologi hospital untuk pengesanan positif dadah bagi tindakan lanjut.

"Daripada jumlah ditahan, terdapat juga individu yang pernah menjalani rawatan pemulihan di AADK tetapi belum dapat meninggalkan tabiat menagih dadah," katanya kepada Sinar Harian.

Ab Rahman berkata, sekiranya laporan patologi mendapati semua orang kena tahan (OKT) positif dadah, mereka akan didakwa di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 bagi kes baharu dan Seksyen 6(3) akta sama bagi kes langgar syarat pengawasan.

"Kebanyakan OKT merupakan penganggur, penoreh getah, buruh dan bekerja sendiri. "Operasi ini dilaksanakan berikutan jumlah aduan awam berkaitan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah pada tahun ini meningkat setiap bulan, iaitu Januari (200), Februari (205) dan Mac (215)," katanya.

Ops Perdana peringkat daerah Kuala Krai melibatkan kerjasama empat jabatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Relawan Rakyat (Rela),Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai dan Majlis Daerah Kuala Krai .

Dalam pada itu, Ab Rahman menyuarakan kebimbangan AADK mengenai penglibatan pelajar sekolah dengan dadah dan lebih membimbangkan adalah perkara ini tidak diketahui ibu bapa.

Katanya, ada juga dalam kalangan ibu bapa tahu anak-anak mereka terlibat dengan dadah tetapi berbuat tidak kisah dan hanya merujuk kes kepada AADK setelah keadaan anak mereka berada pada tahap serius.

Bagi membantu mereka yang terlibat dengan gejala dadah, AADK di Kelantan menyediakan tempat rawatan pemulihan dadah sukarela, iaitu Klinik Cure and Care di Pengkalan Chepa dan Cure and Care Sercive Centre di Kemahang, Tanah Merah.

Bagi orang ramai yang memerlukan maklumat berkaitan rawatan sukarela, mereka boleh mendapatkannya di laman web AADK.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 8 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan