Shahaniza (dua, kanan) diiringi Zakiah mengambil hati ODS dan memberi kata-kata nasihat. |
KUANTAN: Sempena sambutan Hari Bapa, seramai lebih 200 orang diselia (ODS) atau banduan di Kem Pemulihan Pemasyarakatan, Kem Batu 10, di sini diraikan dan diberi kesempatan bertemu keluarga masing-masing.
Bersesuaian dengan tema Hari Bapa yang disambut serentak seluruh negeri 'Ayahku Heroku' program berkenaan amat bermakna kepada ODS dan membuktikan golongan seperti mereka tidak dipinggirkan walaupun pernah melakukan kesilapan.
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, program anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) negeri berkenaan mencari kelainan apabila memilih untuk meraikan golongan ODS.
Menurutnya, sebagai masyarakat yang prihatin, golongan berkenaan sewajarnya diberi peluang dan tidak dipandang serong supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik sebaik sahaja dibebaskan.
“Biasanya kita sambut Hari Bapa di tempat-tempat terbuka seperti pasar raya besar atau sebagainya, tetapi kali ini dilihat lebih bermakna kepada semua ODS dan keluarga serta kita sebagai masyarakat.
“Seramai kira-kira 234 ODS terlibat dalam program ini dan disertai oleh ahli keluarga masing-masing yang datang dari pelbagai negeri termasuk Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan dan pelbagai lagi.
“Mereka diberi kesempatan bertemu, bermesra dan menjalankan program bersama-sama serta ia adalah satu perkara positif yang mampu menanam sifat positif dalam diri ODS.
“Keluarga dan semua pihak harus memainkan peranan untuk membantu golongan ini menjadi insan lebih baik,” katanya pada sidang media ketika hadir merasmikan sambutan berkenaan.
Hadir sama, Pemangku Pengarah LPPKN Pahang, Zakiah Md Noh. Shahaniza berkata, pihaknya juga bercadang menganjurkan aktiviti sedemikian bersama banduan wanita memandangkan konsep itu dilihat meninggalkan kesan amat positif.
“Kita rasa terpanggil untuk adakan program berkonsep begini bersama banduan wanita untuk sama-sama memberikan sokongan.
“Biasanya golongan seperti ini menyimpan persepsi negatif terhadap diri sendiri, tetapi menerusi program sebegini akan menanam azam baharu dan sifat positif ke dalam diri mereka," katanya.
Menurutnya, kebanyakan golongan itu juga tidak tahu mengenai peluang kerja apabila dibebaskan dan pihaknya boleh membawa agensi berkaitan untuk beri penerangan supaya mereka tahu ke mana arah tuju sebaik sahaja keluar.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Pahang | 15 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan