KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan berhasrat mengkomersialkan tanaman pokok kurma sebagai sumber ekonomi baharu di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pokok kurma akan menjadi penanaman baharu yang bakal menyumbang kepada pendapatan negeri dan petani yang mengusahakannya.
Beliau berkata, sebagai perintis kepada perkembangan tersebut, projek tanaman berkenaan telah diusahakan di Limbongan, Pasir Puteh sejak tiga tahun lalu di tanah seluas 0.8 hektar dan mula mengeluarkan hasil yang sangat menggalakkan.
"Saya sendiri rasa gembira dan teruja apabila mendapat tahu pokok kurma yang terdapat di beberapa tempat di negeri ini mula mengeluarkan buah.
"Saya berkeyakinan bila (pokok kurma) sudah berbuah, selepas ini akan semakin mudah untuk mengeluarkan hasil.
"Kebun perintis yang diusahakan di Pasir Puteh itu telah mengeluarkan hasil yang sangat menggalakkan dan insya-Allah kita akan usahakan projek ini di beberapa tempat lain di negeri ini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Karnival Bio Kelantan 2014 di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini hari ini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan beberapa pokok kurma di Bulatan Tuan Padang berhampiran Masjid Muhammadi di sini mengeluarkan buah yang lebat.
Fenomena tersebut dilihat luar biasa kerana pokok kurma yang ditanam di sekitar bandar ini sejak tujuh tahun lalu tidak pernah mengeluarkan hasil.
Mengulas mengenai Karnival Bio Kelantan 2014, Che Abdullah berkata, karnival tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula esok bertempat di KTC.
Katanya, program kali ketiga yang diadakan itu akan menjadi platform bagi mempromosikan perkembangan inovasi bioteknologi di negeri ini.
"Bertemakan Bioteknologi Pemangkin Transformasi Pertanian karnival berkenaan akan menyediakan pelbagai aktiviti menarik di samping pameran dan gerai jualan," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 18 Jun 2014 | Terbitan 19 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan