MACHANG: Projek menaik taraf Jalan Tok Bok ke Selising, Pasir Puteh yang menelan belanja kira-kira RM55 juta dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Datuk Makhtar Mustapha berkata, 93 peratus kerja-kerja yang membabitkan jalan sepanjang 9.7 kilometer (km) itu telah berjaya disiapkan.
"Bagi fasa kedua ini, kira-kira tiga km sahaja yang masih belum disiapkan berikutan terdapat masalah luar jangka seperti keperluan membina jambatan.
"Bagaimanapun, usaha mengatasi masalah itu sedang giat dilakukan bagi memastikan jalan tersebut dapat digunakan secepat mungkin oleh orang ramai bagi menjimatkan masa perjalanan," katanya di sini hari ini.
Projek menaik taraf jalan terbabit bagi fasa pertama yang melibatkan pembinaan jalan sepanjang enam km dan dua jambatan telah berjaya disiapkan sepenuhnya pada April 2010 dengan kos sebanyak RM15.3 juta.
Makhtar berkata, pembinaan jalan itu dijangka mampu meningkatkan industri pelancongan di negeri ini kerana memudahkan orang ramai mengunjungi Kolam Air Panas Tok Bok.
"Sebelum ini, hanya terdapat laluan kampung untuk menghubungkan jalan utama ke kawasan kolam air panas tersebut. Selepas projek fasa pertama berjaya disiapkan, ia telah memberi kemudahan kepada kenderaan-kenderaan besar untuk ke tempat rekreasi itu," katanya.
"Laluan baharu itu juga mampu menjimatkan masa penduduk berdekatan untuk ke Pasir Puteh dan sebaliknya," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Jun 2014 | Terbitan 21 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan