Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 15 Jun 2014

UMK mahu Pusat Sumber Keusahawanan jadi rujukan dunia

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mahu menjadikan Pusat Sumber Keusahawanan (ERC) sebagai sebuah daripada pusat rujukan utama di seluruh dunia khususnya dalam bidang keusahawanan.

Ketua Pustakawan UMK, Azman Hashim berkata pusat berkenaan bukan sahaja mengumpul bahan keusahawanan dalam negara tetapi turut mengumpul bahan-bahan yang diperoleh dari luar negara.

"Kita mahu menjadikan perpustakaan universiti ini sebagai pusat rujukan utama dalam bidang keusahawanan bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa juga kerana koleksi kita adalah di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program 'Chief Librarian Talk' siri ke-2 2014 yang disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose di sini, Ahad.

Azman berkata usaha mengumpul bahan-bahan keusahawanan itu bermula sejak 2008, memandangkan UMK adalah sebuah universiti yang berteraskan keusahawanan. "Sekarang ini kita dapati koleksi-koleksi yang kita ada adalah koleksi yang diiktiraf.

Kita mendapat maklum balas yang positif daripada pelawat-pelawat luar negara apabila mereka melihat koleksi yang kita ada sama ada melalui internet, e-book ataupun buku kerana ia menepati ciri-ciri sebuah universiti keusahawanan," katanya.

Katanya pusat sumber berkenaan sudah mengumpul lebih 50 koleksi keusahawanan dan beberapa koleksi yang dimiliki itu tidak terdapat di universiti lain.

"Pelawat luar termasuk pelawat dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang lain kagum dengan koleksi keusahawanan yang kita ada sekarang," katanya.

Mengulas mengenai program pada hari ini, Azman berkata program itu dianjurkan bagi mendedahkan kepentingan pengurusan maklumat kepada orang ramai khususnya kepada tenaga pengajar.

Sumber: Bernama | 15 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan