Afandi Hamzah menyampaikan alat timbangan kepada Che Penawar Che Omar selepas merasmikan Program Kitar Semula di Kampung Bunohan, Tumpat, baru-baru ini. |
TUMPAT: Rakyat negeri ini membuang sampah sebanyak 1,100 tan setiap hari dan menelan kos yang tinggi untuk dilupuskan.
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, daripada jumlah tersebut tidak semua dikategorikan sebagai sampah, ada juga yang boleh dikitar semula dengan menjadikannya sebagai baja atau bahan kraftangan.
Beliau berkata, kesedaran tentang kepentingan kitar semula dalam kalangan masyarakat harus ditingkatkan kerana dapat membantu menjimatkan kos pelupusan sampah, selain menjaga alam sekitar.
"Program kitar semula akan terus dipergiatkan sehingga ke peringkat akar umbi dalam usaha membantu mengurangkan longgokan sampah di tapak pelupusan yang dibuang oleh rakyat negeri ini.
Dengan adanya langkah berkenaan, kita jangkakan dapat mengurangkan kos pelupusan dan tempoh hayat tapak juga mampu dipanjangkan," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Program Kitar Semula anjuran PPSPPA dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) negeri di Kampung Bunohan di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita negeri, Azlina Mohd. Embran. Sempena program tanggungjawab sosial korporat itu, sebuah stor untuk bahan kitar semula didirikan berhampiran kediaman seorang ibu tunggal, Che Penawar Che Omar, 43, sebagai lokasi untuk membuang sisa pepejal oleh penduduk di sekitar kawasan itu.
Sementara itu, Afandi berkata, program itu bersifat serampang dua mata iaitu selain kesedaran awam untuk menyelamatkan bumi, dapat menjana pendapatan kepada ibu tunggal berkenaan.
"Seminggu sekali vendor yang dilantik PPSPPA akan datang mengutip bahan kitar semula itu dan membayar secara tunai kepada Che Penawar yang wang itu akan diserahkan 100 peratus untuk kegunaannya.
Ini adalah program perintis dan jika berkesan, kita akan teruskan di daerah seterusnya," ujarnya. Afandi berkata, menjelang 2020, pihaknya menyasarkan sebanyak 22 peratus lagi tahap kesedaran masyarakat di negeri ini akan dicapai dan peratusan itu semakin meningkat dari sehari ke sehari.
"Ini adalah kerana agensinya turut melaksanakan program kesedaran di peringkat awal lagi, contohnya di taman didikan kanak-kanak (tadika) dan sekolah rendah di seluruh negeri ini," jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 7 Jun 2014 | Terbitan 8 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan