Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Jun 2014

300,000 rakyat Kelantan hidap diabetes

Ahmad Razin Ahmad Mahir (berdiri kanan) melihat alatan yang digunakan bagi mengesan penyakit katarak di pusat rawatan Psikososial, Klinik Kesihatan Chiku 3, Gua Musang, Kelantan, kelmarin.
GUA MUSANG: Kira-kira 300,000 daripada 1.5 juta rakyat negeri ini menghidap penyakit diabetes. Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, jumlah penghidap penyakit tersebut amat membimbangkan dan ia harus dikawal dengan kesedaran daripada individu itu sendiri.

Beliau berkata, penyakit tersebut amat berbahaya sekiranya tidak diberikan perhatian yang serius kerana ia membawa kepada pelbagai komplikasi.

"Penyakit diabetis yang tidak terkawal boleh menyebabkan individu itu terdedah kepada komplikasi lain seperti masalah penglihatan yang membawa kepada kebutaan, kegagalan buah pinggang dan serangan jantung," katanya.

"Ramai pesakit diabetes yang berpantang dengan cara mengawal pemakanan, tetapi mereka juga jangan sesekali ketinggalan untuk mengambil ubat dan mematuhi arahan yang diberikan doktor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis Pelancaran Klinik Katarak 1 Malaysia di Klinik Kesihatan Chiku 3, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Ahmad Faris Awang.

Ahmad Razin berkata, pesakit diabetes diminta supaya tidak berhenti daripada mendapatkan rawatan dan perlu melakukan pemeriksaan kesihatan di hospital berhampiran.

"Pesakit tidak boleh memandang ringan terhadap rawatan yang disifatkan sepanjang hayat itu kerana penyakit tersebut boleh membawa pelbagai komplikasi.

"Penyakit ini berpunca daripada gaya hidup terutama amalan pemakanan yang tidak sihat, kita berharap orang ramai mengambil tentang perkara ini," katanya.

Katanya, sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi, menasihatkan pesakit supaya tidak mengikut nafsu makan dan mengawal cara pemakanan mereka.

"Pesakit harus mengamalkan pemakanan yang seimbang dan melakukan senaman bagi mengekalkan berat badan yang unggul.

"Jangan kita jadikan bulan Ramadan sebagai bulan kita berpesta makan tetapi kita harus mengekalkan kehidupan yang lebih sihat," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 17 Jun 2014 | Terbitan 18 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan