Dikawal polis ketika keluar dari mahkamah selepas tuduhan dijalankan. |
KOTA BHARU: Seorang remaja berusia 14 tahun mengaku bersalah di mahkamah majistret, di sini, semalam atas tuduhan memiliki 0.1 gram dadah jenis metamphetamine atau pil kuda, 5 Jun lalu.
Remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 di hadapan Majistret, Nik Habri Muhamad.
Dia mengaku memiliki dadah itu di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Lubok, Kuin, Banggol Lepah, Ketereh, di sini, pada jam 1.20 tengah hari.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Jun depan bagi mendapatkan laporan kimia berat sebenar dadah berkenaan.
Pesalah juvenil berkenaan diwakili Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman. Dia ditahan dalam satu serbuan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini.
Ketika pemeriksaan pihak berkuasa ke atas rumah berkenaan, remaja tersebut menyerahkan satu tiub straw berisi sebiji pil kemerahan dipercayai dadah.
Hukuman terhadap remaja tersebut tertakluk di bawah Akta Kanan-kanak 2001, sementara itu, dia dibebaskan dengan jaminan. Pendakwaan ke atas tertuduh juvenil itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nurliyana Md Zukri.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 13 Jun 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan