Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 7 Jun 2014

Dadah: Remaja antara yang ditahan dalam Ops Perdana

Anggota Rela turut bekerjasama bagi membantu melancarkan operasi berkenaan.
RANTAU PANJANG: Seorang remaja berusia 13 tahun antara 43 individu yang ditahan menerusi Ops Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) kerana positif dadah selain turut memiliki barang terlarang itu, semalam.

Penolong Pengarah AADK, Tawfik Teow Abdullah berkata, suspek yang ditahan merupakan penduduk Tanah Merah dan selebihnya dari Pasir Mas serta Rantau Panjang.

Selepas pemeriksaan katanya, 10 daripadanya didapati memiliki dadah jenis ganja, pil kuda serta morfin dan mereka diserahkan ke Balai Polis Ibu Pejabat Tanah Merah untuk tindakan lanjut.

“Tindakan seorang suspek membuang satu bungkusan plastik di tepi jalan menimbulkan keraguan dan hasil pemeriksaan mendapati ia merupakan wang bernilai RM3,350.

“Kita masih menyiasat sama ada lelaki itu merupakan seorang pengedar atau penagih dadah,” katanya.

Menurutnya, seorang berbangsa Cina, dua warga Thailand dan selebihnya berbangsa Melayu akan dituduh mengikut Seksyen 3 (1) Akta Pemilikan Dadah 1983 bagi kes baharu manakala Seksyen 6 (3) Akta yang sama, bagi kes langgar syarat pengawasan.

Tawfik berkata, dua warga Thailand itu juga didapati memasuki negara tanpa dokumen sah dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Menerusi operasi itu sehingga jam 9 pagi semalam, seramai 529 penduduk seluruh Kelantan menjalani ujian air kencing dan Tanah Merah mencatatkan bilangan tertinggi suspek dadah.

AADK turut dibantu oleh polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan Unit Antidadah Sepadu.

Sementara itu, ibu muda yang dikenali sebagai Ain, 20, berkata, dia tidak pernah mengetahui penglibatan suaminya yang berusia 23 tahun dengan kes dadah.

Sebelum ini Ain berkata, suaminya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab membesarkan dua anak mereka yang berusia 5 bulan dan 3 tahun.

"Jika suami dimasukkan ke dalam penjara, saya terpaksa mencari kerja demi perbelanjaan anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Seorang ibu yang hanya dikenali Minah, 65, berkata, dia mula memikirkan perkara yang tidak baik menimpa anaknya kerana tidak pulang ke rumah selepas keluar bersama rakan pada jam 10 malam tadi (kelmarin).

“Saya amat terkejut selepas menerima panggilan daripada pihak AADK menyatakan anak lelaki saya ditahan kerana ujian saringan air kencingnya, didapati positif dadah.

“Saya rasa tak percaya sebab anak saya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 6 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan