Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 19 Jun 2014

Rokok seludup: Kelantan pasaran ketiga terbesar selepas Selangor dan Johor

Azis Yacob (empat dari kanan) beramah mesra dengan wakil agensi penguatkuasaan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan beberapa lagi agensi berkaitan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Bersama Mencegah Penyeludupan Rokok Zon Pantai Timur di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
KOTA BHARU: Kelantan adalah negeri ketiga tertinggi pasaran rokok seludup di negara ini selepas Selangor dan Johor.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Azis Yacob berkata, negeri ini menyumbang sebanyak tiga peratus daripada 35 peratus secara keseluruhannya pasaran rokok seludup di seluruh negara.

Beliau berkata, Selangor dan Johor masing-masing menyumbang sebanyak 7.7 peratus dan 3.5 peratus pasaran rokok berkenaan.

"Penyeludupan rokok di negara ini amat kritikal di mana 35 peratus daripada rokok yang dijual di pasaran adalah rokok seludup dan Kelantan merupakan penyumbang ketiga ter-tinggi pasaran rokok tidak sah ini.

"Akibat daripada aktiviti penyeludupan rokok yang berleluasa itu turut menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2 bilion setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Bersama Mencegah Penyeludupan Rokok Zon Pantai Timur di sini semalam.

Mesyuarat tahunan itu telah melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan seperti polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan beberapa lagi agensi-agensi berkaitan.

Azis berkata, kastam akan terus menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan ini bagi membanteras aktiviti penyeludupan rokok tiruan khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

"Kami (penguatkuasaan) akan terus bersatu mencari jalan mengawal sempadan dan pengairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan rokok tiruan ini.

"Kami akan memastikan aktiviti itu dapat dibanteras sekali gus dapat mengelak negara daripada terus mengalami kerugian," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 17 Jun 2014 | Terbitan 18 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan