Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 14 Jun 2014

Masalah air bertakung dan sampah-sarap jejas imej Rantau Panjang Bandar Pelancongan

Sebahagian daripada kawasan Bazar Abdul Rahman Auf digenangi air dan sampah-sarap hingga menjejaskan imej Rantau Panjang, Kelantan sebagai destinasi pelancongan.
PASIR MAS: Masalah air bertakung di kawasan meletak kenderaan tingkat bawah Bazar Abdul Rahman Auf di pekan Rantau Panjang di sini bukan sahaja mencemar imejnya sebagai kawasan pelancongan utama di negeri ini malah boleh mengundang pembiakan nyamuk aedes jika tiada tindakan segera diambil.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan berkenaan turut dipenuhi sampah-sarap yang mencacatkan pemandangan.

Salah seorang peniaga, Aini Lah Muhammad, 29, mendakwa, masalah air bertakung wujud di kawasan terbabit kerana tiada sistem saliran yang membolehkan air kering dengan cepat. 

"Takungan air hujan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan kawasan ini berbau busuk dan menjejaskan sumber pendapatan saya kerana pengunjung tidak mahu datang ke lokasi ini.

"Jika masalah ini berterusan, saya khuatir boleh menjejaskan nama baik pekan ini sebagai antara pusat membeli-belah tersohor di Kelantan," katanya yang sudah berniaga selama enam tahun di kawasan berkenaan.

Sementara itu, seorang pengunjung, Muhammad Yunus, 37, berkata, pihak terlibat perlu mengambil langkah segera mengatasi masalah tersebut kerana persekitaran tidak selesa boleh membantutkan niat untuk membeli-belah.

Katanya, keadaan itu juga boleh menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan pelancong luar mengenai tahap kebersihan di negeri ini yang terkenal dengan gelaran Serambi Mekah.

"Saya harap pihak berkenaan tidak mengambil sikap tunggu dan lihat semata-mata kerana perkara terbabit melibatkan kepentingan umum.

"Takkan nak tunggu berlaku sesuatu yang buruk terjadi baharu pihak terbabit mahu mengambil tindakan," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 Jun 2014 | Terbitan 12 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan