Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 26 Jun 2014

Projek Stadium Negeri Kelantan: Kerajaan Kelantan terus gagal beri jawapan tepat

KOTA BHARU:  Kerajaan Pas Kelantan terus gagal memberikan jawapan tepat tentang status siap stadium bola sepak bertaraf antarabangsa di Bukit Merbau, Pasir Puteh

Sebaliknya kerajaan negeri itu terus berdolak-dalih dengan memberi alasan stadium tersebut mungkin boleh disiapkan sekiranya mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, stadium yang membabitkan kos sebanyak RM300 juta itu mungkin boleh disiapkan dalam tempoh terdekat sekiranya kerajaan Pusat turut membantu.

Beliau berkata, setakat kini, kerajaan negeri telah mengeluarkan surat niat kepada satu syarikat yang akan membina stadium berkenaan.

Bagaimanapun katanya, syarikat itu akan membina stadium yang hanya boleh memuatkan seramai 35,000 penonton dan bukannya 45,000 orang seperti diumumkan sebelum ini.

"Bagaimanapun kita tetap akan menaik taraf untuk memuatkan lebih 10,000 orang lagi jika mempunyai sumber kewangan yang mencukupi selain mendapat bantuan kerajaan Pusat," katanya ketika menjawab soalan Zulkifle Ali (BN-Selising).

Pada 18 Mei 2011, bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sidang akhbar di pejabatnya mengumumkan bahawa kerajaan Pas Kelantan berjanji akan membina sebuah kompleks sukan termasuk stadium bola sepak baharu.

Stadium yang bakal dibina itu mempunyai 40,000 tempat duduk serta beberapa prasarana sukan lain seperti kolam renang.

Bagi meyakinkan rakyat pada 30 Mac tahun lalu, Nik Abdul Aziz merasmikan majlis pecah tanah projek yang melibatkan kos bernilai RM159 juta dan membabitkan kawasan seluas 50.4 hektar.

Bagaimanapun stadium yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun selepas majlis pecah tanah tersebut sehingga hari ini masih belum dilaksanakan.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 25 Jun 2014 | Terbitan 26 Jun 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan