PETALING JAYA: Malaysia dilihat mempunyai kemahiran bertutur
bahasa Inggeris terbaik di Asia, menewaskan Singapura, India, Sri Lanka,
Taiwan, China dan Kazakhstan - menurut sekolah bahasa Inggeris yang
berpangkalan di Singapura.
Sekolah berkenaan, Education First yang mengeluarkan hasil Indeks
Kemahiran Bahasa Inggeris di laman web mereka pada Rabu, meletakkan
Malaysia sebagai negara yang mempunyai tahap kecekapan bahasa Inggeris
tertinggi dari 13 negara di Asia.
Pada skala global, Malaysia berada di kedudukan ke-11 dari 60 buah
negara, dengan empat dari lima slot teratas diduduki negara-negara
Scandinavia, yang mana Sweden dan Norway mengambil dua tempat teratas
dan Malaysia mengatasi Singapura, Belgium, Jerman, Latvia dan
Switzerland - negara yang masing-masing berada di kedudukan ke-12, 13,
14, 15 dan 16.
Di laman web berkenaan, sekolah itu berkata didapati beberapa negara
Asia khususnya Indonesia dan Vietnam, telah mengubah penguasaan Bahasa
Inggeris mereka sepanjang tempoh 2007-2012.
"China juga telah bertambah baik, walaupun kurang dramatik. Jepun dan
Korea Selatan, walaupun dengan pelaburan swasta yang besar, telah
menurun sedikit.
"Kemahiran bahasa Inggeris semakin baik di negara-negara BRIC (Brazil, Rusia, India dan China). "Tahun ini, India dan Rusia telah maju ke hadapan China dan Brazil mengekori rapat," kata Education First.
Sekolah ini juga mendapati Indeks yang diperolehi di negara Timur
Tengah dan Afrika Utara menunjukkan ia merupakan kawasan dengan tahap
penguasaan bahasa Inggeris yang lemah.
Mengenai mekanik Indeks, sekolah itu berkata Indeks tersebut dikira
dengan mengukur tahap kemahiran Bahasa Inggeris orang dewasa negara itu
secara purata menggunakan data dari dua ujian Education First.
"Satu ujian adalah terbuka kepada mana-mana pengguna Internet secara
percuma. Yang kedua adalah ujian penempatan 70 soalan dalam talian yang
digunakan oleh EF semasa proses pendaftaran pelajar sebelum memulakan
kursus Bahasa Inggeris. Kedua-dua termasuk tatabahasa, perbendaharaan
kata, membaca, dan sesi mendengar," katanya.
Sumber: mStar Online | 7 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan