Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 1 Jun 2015

Kelantan masih berunding serah projek lebuh raya kepada Kerajaan Persekutuan - Hanifa

KOTA BHARU: Kelantan masih lagi berunding tentang kemungkinan menyerahkan projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat kepada Kerajaan Persekutuan, kata Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad (gambar).

Hanifa berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai apa-apa masalah dengan projek itu tetapi Kerajaan Persekutuan dilihat memahami dan merasakan Kelantan mungkin terbeban dengan projek itu dan mahu membantu.

Jika projek berkenaan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri hanya akan menyiapkan projek Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10 kilometer dari Bukit Tiu, Machang ke Kampung Berangan Mek Nab, juga di Machang, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

"Bakinya sepanjang 20.5 kilometer lagi mungkin akan disiapkan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu dari Kampung Berangan Mek Nab di Machang ke Dusun Damar di Kuala Krai," jelas beliau.

Beliau diminta mengulas laporan yang menyebut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyatakan kemungkinan kerajaan negeri menyerahkan projek pembinaan itu kepada Pusat untuk disiapkan.

Hanifa berkata, setakat ini kerja meratakan tanah untuk lebuh raya itu telah dilakukan sejauh lima kilometer.

Kerajaan Kelantan melancarkan pembinaan Lebuh Raya Rakyat sepanjang 30.5 kilometer dari Bukit Bakar, Machang hingga Dusun Damar, Kuala Krai itu pada Ogos tahun lepas.

Projek berkenaan dianggar menelan belanja RM854 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2017.

Sumber: Bernama | 1 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan