KUALA LUMPUR: Landasan kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan ke Gua Musang dan dari Kemubu ke Bukit Abu, Kelantan yang terjejas teruk akibat bencana banjir tahun lepas dijangka siap sepenuhnya pada 10 Julai ini.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Sarbini Tijan berkata, usaha membaik pulih landasan tersebut sedang dijalankan agar pengguna dapat menikmati perkhidmatan KTMB dengan segera.
Katanya, perkara tersebut tidak seharusnya ditangguh memandangkan ia penting untuk kegunaan orang ramai khususnya penduduk Kelantan yang menjadikan kereta api sebagai pengangkutan utama.
“Kebanyakan perantau yang berhijrah ke negeri lain lebih memilih untuk menggunakan perkhidmatan kereta api untuk pulang ke kampung kerana mudah serta menjimatkan terutama pada musim perayaan.
“Oleh sebab itu, pihak kami akan sentiasa memastikan projek tersebut berjalan dengan lancar dan berharap penduduk Kelantan dapat bersabar sehingga perkhidmatan kereta api berjalan seperti sedia kala,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya menyokong penuh usaha yang telah dijalankan oleh KTMB.
Katanya,langkah tersebut dilihat dapat membela nasib penduduk serta pelajar di Kelantan terutama di pedalaman.
“Pelajar tersebut hanya bergantung kepada kereta api untuk ke sekolah malah sesetengah daripada penduduk menjadikan pengangkutan itu sebagai nadi ekonomi mereka bagi menyara keluarga.
“Dengan kecekapan KTMB, diharap landasan yang rosak dapat dibaiki secepat mungkin dan saya ingin mengucapkan terima kasih kerana prihatin terhadap masalah yang dihadapi penduduk Kelantan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 31 Mei 2015 | Terbitan 1 Jun 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan