Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 2 Jun 2015

Kelantan mula kaedah pengasingan sisa pepejal Julai ini


KOTA BHARU: Kelantan dijangka menggunakan kaedah pengasingan sisa pepejal mulai bulan depan bagi mengatasi masalah lambakan sampah berikutan kekurangan tapak pelupusan sampah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) berkata, kaedah itu dimulakan bulan depan berikutan permulaan Ramadan yang biasanya berlaku lambakan sampah.

"Kami jangkakan sebanyak 1,000 metrik tan sampah akan dilupus setiap hari sepanjang bulan Ramadan yang bermula 18 Jun ini. Jadi pendekatan pengasingan sisa pepejal ini dilihat sebagai alternatif terbaik bagi melancarkan proses pelupusan sampah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis angkat sumpah Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kelantan bagi Daerah Pasir Mas di Kompleks Darul Naim di sini, hari ini.

Katanya daripada laporan yang diterima, daerah Kota Bharu adalah penyumbang terbesar lambakan sisa pepejal di Kelantan.

"Ketika ini kami lupuskan 500 tan sampah di seluruh negeri dan daerah Kota Bharu menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 300 tan," katanya.

Abdul Fattah berkata, sehubungan itu kerajaan negeri akan memperkenalkan pusat pengasingan sampah di setiap daerah dalam usaha menambah baik sistem pengurusan sisa pepejal dan sampah di Kelantan.

"Sampah-sampah ini akan diasing terlebih dahulu untuk dikenal pasti sama ada boleh dikitar semula atau tidak sebelum dilupus. Sampah yang boleh dikitar semula akan dihantar ke kilang, manakala yang organik akan dilupus.

"Kami harap langkah itu mampu menyelesaikan masalah pengurusan sisa pepejal dan sampah yang dihadapi ketika ini," katanya.

Sumber: Bernama | 1 Jun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan