Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 7 November 2013

Usaha martabatkan seni silat Kelantan

Md. Anizam Abdul Rahman (baju putih) dan Mohd. Amar Nik Abdullah (baju batik) bergambar kenangan bersama para pesilat dalam Majlis Penutup Festival Silat Kelantan di Kota Bharu, semalam.
KOTA BHARU: Kerajaan negeri berhasrat mengaktif dan menyelaraskan gelanggang silat di setiap daerah di negeri ini bagi memartabat serta menghidupkan kesenian silat Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, proses menyelaraskan semua gelanggang silat itu bertujuan mengukuhkan perkembangan seni silat di negeri ini. 

Menurutnya, usaha penambahan gelanggang tersebut sangat penting dalam usaha menarik minat pelajar dan golongan belia menyertai silat.

"Kerajaan negeri berhasrat menghidupkan semula beberapa silat di negeri ini termasuk silat jatuh bagi setiap jajahan dan mengaktif serta menyelaraskan gelanggang di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Seni silat ini mempunyai hala tuju ke arah menjadikan Kelantan sebagai negeri berbudaya dari dahulu hingga kini dan kerajaan negeri akan memastikan generasi muda termasuk pelajar dan belia menyertainya supaya tidak pupus," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Festival Silat Kelantan anjuran oleh Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pertubuhan Gabungan Seni Silat Warisan Nusantara Negeri Kelantan (Waris) di Gelanggang Seni di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Waris, Dr. Kamal Shah Abdullah Zawawi Sutan Rajo Sakti.

Dalam festival berkenaan, hampir 300 pengamal seni silat daripada 10 pertubuhan silat di negeri ini berkumpul.

Md. Anizam berkata, seni silat adalah warisan yang sangat menarik dan perlu diaktifkan semula untuk menjadikan seni budaya Melayu Kelantan itu terus berkembang.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 6 Nov. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan