Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 4 Mac 2017

Agong rasmi Mahkamah Syariah Sungai Rambai, Melaka

JASIN: Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan berangkat merasmikan Mahkamah Syariah Sungai Rambai di sini hari ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka kira-kira 11.30 pagi tadi disambut oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron serta kira-kira 3,000 orang penduduk.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada majlis itu, Sultan Muhammad V berkenan menyaksikan model pembangunan Kompleks Kota Al-Hasanah yang merangkumi mahkamah itu, Masjid Al-Hasanah, Akademi Al-Quran, Pejabat Cawangan Pusat Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka.

Seri Paduka kemudian turut berkenan menandatangani plak perasmian sebelum melawat ruang perbicaraan mahkamah tersebut.

Mahkamah Syariah Sungai Rambai yang dibina dengan kos RM2.9 juta berkonsepkan teknologi hijau siap dibina awal tahun ini dan memulakan operasinya hari ini.

Sultan Muhammad V kemudian berkenan beramah mesra dan bersantap dengan mereka yang hadir pada majlis tersebut sebelum berangkat meninggalkan majlis.

Perasmian mahkamah itu menutup tirai atur cara lawatan tiga hari Seri Paduka yang juga lawatan pertama baginda ke negeri ini sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember tahun lepas.

Sementara itu, Idris ketika berucap pada majlis itu berkata Mahkamah Syariah Sungai Rambai akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi membicarakan kes-kes Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah.

Beliau berkata mahkamah yang terletak di kawasan luar bandar itu akan memberi kemudahan kepada rakyat terutamanya yang tinggal di kawasan Sungai Rambai, Jasin Pantai, Merlimau dan Serkam.

"Dengan adanya mahkamah ini pihak kerajaan boleh menerima, mendengar dan melaksanakan kes syariah termasuk kes wasiat dan jenayah berasaskan perintah hukum syarak dan peruntukan undang-undang.

"Ini seterusnya menyelesai pertikaian secara majlis sulh berasaskan persetujuan tanpa sebarang paksaan melalui perundingan dan timbang tara," katanya.

Mengulas mengenai Kompleks Kota Al-Hasanah, Idris berkata selain mahkamah syariah, kota itu mempunyai Masjid Al-Hasanah yang mempunyai ciri-ciri gabungan reka bentuk dan semangat Masjidil Haram di Makkah, Masjid Al-Aqsa di Palestin dan Masjid Nabawi di Madinah.

"Kompleks ini turut menyediakan Souk Al-Hasanah atau bazar yang merangkumi gerai jualan pakaian, jubah, barangan keperluan haji dan pengebumian orang Islam serta gerai makanan yang berasaskan timur tengah seperti kebab, nasi arab dan kambing golek.

"Kerajaan juga sedang merancang membina lebih banyak kemudahan untuk keselesaan orang awam, antaranya sebuah hotel bajet bercirikan Islam, sebuah helipad untuk pendaratan helikopter selain kawasan parkir kereta yang selesa dan mencukupi," katanya.

Sumber: Bernama | 4 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan