Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 4 Mac 2017

KKLBW peruntuk hampir RM30 juta bina jambatan di Kampung Pemberian, Kuala Krai

KUALA KRAI: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW) memperuntukkan hampir RM30 juta untuk membina jambatan sepanjang 250 meter merintangi Sungai Lebir di Kampung Pemberian di sini.

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata lebih 2,000 penduduk di kawasan terbabit akan mendapat faedah daripada jambatan itu yang mula dibina November lepas dan dijangka siap pada akhir tahun depan (2018).

"Mereka sekarang ini terpaksa menggunakan jambatan sementara yang seringkali tenggelam setiap kali paras air sungai meningkat akibat hujan lebat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan jambatan itu di Kampung Pemberian di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Dabong, Datuk Romzi Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata setiap kali jambatan sementara itu ditenggelami air sungai berkenaan, penduduk di kampung terbabit dan kawasan sekitarnya tidak dapat ke bandar Kuala Krai dan Gua Musang.

Sementara itu, Romzi berkata jambatan sementara itu yang dibina rendah dengan permukaan sungai menyebabkan kayu dan sampah akan tersangkut apabila paras air meningkat dan kerajaan terpaksa membelanjakan antara RM1,000 dan RM1,500 untuk membersihkan kayu dan sampah tersebut.

Beliau berharap masalah itu akan berakhir sebaik sahaja siap jambatan baharu itu yang dibina lebih tinggi daripada paras air sungai.

Sumber: Bernama | 4 Mac 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan