Keadaan jalan yang berlubang jelas kelihatan di Jalan utama Felda Sungai Aring I yang dibimbangi boleh menyebabkan kemalangan jiwa. |
GUA MUSANG: Penduduk Felda Sungai Aring I meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menurap segera jalan yang menjadi laluan utama mereka keluar masuk seharian yang dibiarkan rosak sejak sekian lama sehingga mengancam keselamatan pengguna.
Beberapa penduduk yang ditemui memberitahu, jalan tersebut hanya ditabur batu kerikil oleh pihak berkenaan dan keadaan menjadi buruk apabila lubang terbentuk semasa hujan.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan tersebut turut mendapati jalan yang rosak hanya ditabur batu kerikil tanpa diturap dan apabila hujan kembali rosak serta boleh membahayakan pengguna.
Seorang penduduk, Ruzelan Romli, 52, melahirkan rasa kesal dengan sikap lepas tangan JKR itu yang gagal membaiki kerosakan di jalan tersebut meskipun dikatakan telah lama berlaku.
"Jalan berlubang tetapi pihak berkenaan hanya datang menabur batu kerikil menyebabkan kerosakan semakin teruk dan amat berbahaya kepada pengguna.
"Ini merupakan laluan alternatif menuju ke beberapa kawasan Felda lagi di dalam sana serta menghubungkan Tasik Kenyir dan Kuala Berang, maka jalan itu perlu dibaiki segera demi keselamatan pengguna," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Seorang lagi penduduk, Mohamad Nor, 59, memberitahu, dia yang sering menunggang motosikal untuk keluar membeli barang di pekan Chiku nyaris terbabas semasa melalui jalan tersebut yang dipenuhi dengan batu kerikil.
"Jika waktu malam, kawasan tersebut sangat gelap dan ini boleh mengundang padah kepada pengguna. "Kerosakan ini telah lama berlaku dan sepatutnya pihak berwajib segera membaikinya, jangan menunggu ada orang yang maut dan ketika itu baru bertindak," katanya.
Mohamad berkata, jalan tersebut juga rosak akibat banyak lori keluar dan masuk serta menjadikan jalan utama aktiviti pembalakkan dan sebagainya.
"Lori yang menggunakan jalan ini semuanya muatan berat. Kadang-kadang laju tanpa memikirkan kenderaan ringan seperti kita ini," katanya.
Harapan sama disuarakan oleh seorang pengguna, Che Mohd. Izani Che Musa, 32, yang berharap pihak JKR segera menurap jalan tersebut demi menjamin keselamatan orang ramai terutama penunggang motosikal.
"Jika kerosakan pada jalan ini tidak dibaiki segera, mungkin akan ada yang maut. Jangan biarkan kejadian itu berlaku baru kita nak bertindak. JKR perlu bertindak segera sebelum insiden lebih buruk berlaku," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan