Kamal Azam Kamaruddin (tiga dari kiri) bersama Raja Rusmin Raja Mahmud (tengah) melepaskan konvoi Kelantan Bimmers Club di Kota Bharu, kelmarin. |
KOTA BHARU: Tourism Malaysia Kelantan akan bekerjasama dengan sebuah kelab pemilik kereta untuk mengadakan acara konvoi ke selatan Thailand sebagai salah satu langkah mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 ke negara jiran.
Timbalan Pengarahnya, Kamal Azam Kamaruddin berkata, cara itu dilihat lebih mudah bagi pihaknya menghebahkan bahan kempen kepada orang ramai, selain dapat mendekati masyarakat Thai dalam mempromosikan Malaysia secara lebih berkesan.
Katanya, mereka akan bekerjasama dengan kelab pemilik BMW iaitu Kelantan Bimmers Club yang terdiri daripada 23 ahli untuk bergerak ke Hat Yai dan Krabi tidak lama lagi.
"Kita akan memberikan sokongan padu terhadap usaha seperti ini kerana dapat mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2014 dengan lebih efektif lagi.
"Promosi bergerak ini lebih mudah kerana dari situ mereka akan melakukan hebahan kepada orang ramai dan mengedarkan risalah promosi kempen," katanya ketika ditemui selepas acara pelepasan konvoi Kelantan Bimmers Club ke BimmerFest Malaysia 2013 di Putrajaya, di sini semalam.
Dalam konvoi itu, sebanyak 20 buah kereta BMW dilepaskan dari Hotel Grand Riverview (GRV) untuk menyertai acara terbesar yang mengumpulkan pemilik BMW di seluruh negara bagi memecah rekod Malaysia Book of Records (MBOR) itu.
Yang hadir sama Pengarah Pemasaran GRV, Raja Rusmin Raja Mahmud; Timbalan Presiden Kelantan Bimmers Club, Mohd. Nazri Che Hassan dan Setiausahanya, Nordin Abd. Rahman.
Sementara itu, Mohd. Nazri berkata, acara di Putrajaya itu adalah kali pertama yang menghimpunkan pemilik kereta BMW beramai-ramai yang dianggarkan membabitkan sekitar 640 peserta dari seluruh negara.
"Kami bergerak secara konvoi untuk menyertai acara terbesar itu yang diadakan bermula pukul 9 pagi esok (hari ini).
"Sejak kelab ini ditubuhkan pada 2010, inilah peluang untuk semua ahli seluruh negara berkumpul bersama bagi mengeratkan silaturahim," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 9 Nov. 2013
Tiada ulasan:
Catat Ulasan