Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 September 2013

RM2.6b majukan Kelantan


KOTA BHARU: Kerajaan Pusat telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi projek pembangunan di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapha berkata, walaupun negeri ini berada di bawah pembangkang, namun Kerajaan Pusat tidak pernah meminggirkannya dari aspek pembangunan.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat sentiasa membawa kemajuan kepada negeri ini sejak dahulu lagi bagi memberi keselesaan kepada rakyat. "Antara projek pembinaan yang terkini dan sedang dalam perlaksanaan ialah projek penyambungan jambatan Sultan Yahya Petra, penstabilan tebing Sungai Kelantan dan rancangan penstabilan tebing Sungai Golok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Majlis Mesra Aidilfitri Kelantan FM di pekarangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini semalam. Yang turut hadir Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Dr. Nawiah Che Lah dan Pengarah RTM Kelantan, Datuk Sayuti Mukhtar Makhtar berkata, projek pembangunan bagi fasa satu dan dua untuk RMK-10 di negeri ini telah banyak dilaksanakan dan sehingga kini sudah mencapai 60 peratus siap sepenuhnya.

"Bagi pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra yang dijangka dapat digunakan sepenuhnya selepas Hari Raya Aidiladha nanti telah membabitkan kos sebanyak RM180 juta. "Selain itu, Kerajaan Pusat turut memperuntukkan kos sebanyak RM260 juta untuk penstabilan tebing Sungai Kelantan yang kini sedang dalam pembinaan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan rancangan menstabilkan tebing Sungai Golok sepanjang 130 kilometer itu kini sudah memasuki fasa kedua. "Setakat ini, projek tersebut telah dilaksanakan sehingga 61 kilometer daripada jarak keseluruhannya dengan kos RM91 juta.

"Selepas itu, projek ini diteruskan lagi 30 kilometer dengan membabitkan kos RM100 juta yang dijangka siap pada tahun 2015,"katanya. Sementara itu, Makhtar turut berkata, media adalah antara platform terbaik untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat tentang sumbangan Kerajaan Persekutuan terhadap rakyat di negeri ini khususnya.

"Saya akui RTM memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu menyalurkan maklumat tentang permasalahan rakyat yang perlu diselesaikan. "Justeru, saya turut meminta jabatan kerajaan menggunakan RTM sebagai medium utama kerana cukup yakin dengan segala informasi yang disalurkan," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 30 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan