Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 16 September 2013

Kias jadi pilihan pelajar antarabangsa

KOTA BHARU: Pada sesi pengajian tahun ini seramai 25 lagi pelajar antarabangsa mendaftar di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) dan sehingga sekarang Kias mempunyai seramai 177 pelajar antarabangsa yang berasal dari Singapura, Thailand, Kemboja, Nigeria, dan China.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, pertambahan bilangan pelajar dari luar negara menggambarkan semakin ramai berminat menyambung pelajaran di Kias.

Kias sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri. Pada peringkat awal dikenali sebagai Maahad ad Dakwah Wal Imamah ditubuh pada 1994.

Maahad tersebut ditubuh menggantikan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan yang diserap kepada Universiti Malaya selepas kerajaan PAS tumbang pada pilihan raya umum 1978.

Bilangan pelajar sekarang 1,813 orang, manakala tenaga pengajar seramai 80 termasuk 13 pensyarah lulusan PhD dan 41 sarjana.

“Kalau dibandingkan pada peringkat awal kewujudan Kias pada 2003, pelajar antarbangsa hanya datang datang dari Singapura dan Thailand sahaja,” katanya di Majlis Konvokesyen Kias Kali ke-15, di Dewan Yayasan Islam Kelantan, semalam. 

Teks ucapannya dibaca Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah. Turut hadir Speaker Dun Kelantan, Ustaz Abdullah Ya’kob, anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ketua Eksekutif Kias, Prof Dr Ab. Aziz Mohd Zin dan wakil-wakil IPTA dan IPTS.

Ahmad juga berkata, Kias akan memperkenalkan beberapa program baru di peringkat diploma untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelajar yang ingin melanjut pelajaran ke Kias.

Kias juga akan menambah lagi dua jabatan iaitu Jabatan Perbandingan dan  Jabatan Qiraat dan Taranum.

Sempena konvokesyen berkenaan, Mohd Hafidz Mohd Zawawi dan Nurul Syahadatul Akmal Md Nor diumum sebagai penerima anugerah graduan cemerlang.

Seramai 121 pelajar menerima diploma disampaikan Mohd Amar pada majlis tersebut.

Pelajar berkenaan lulusan Diploma Usuludin, Diploma Al-Syariah, Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah, Diploma Bahasa Arab, Diploma Qiraat dan Taranum, Diploma Tahfiz al Quran dan Diploma Kewangan Islam.

Kias juga menawarkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda Usuluddin dan Syariah dengan kerjasama Kolej Universiti Insaniah.

Selain itu Kias turut mengadakan kerjasama akademik dengan Institut Agama Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Acheh; Institut Agama Islam Sultan Thaha Saifuddin, Jambi; Institut Agama Islam Negeri Imam Bonjol, Padang Indonesia, Kolej Universiti Insaniah.

Selain itu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor; Universiti Kebangsaan Malaysia; Universiti Malaya; Universiti Kaherah, Mesir; Universiti Al- Hasyimiah; Universiti Al-Yarmouk; Universiti Aal Al-Bayt dan Universiti Jordan di Jordan.

Sumber: Harakah Daily | 16 Sept. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan