PASIR MAS: Sambutan Jubli Emas Hari 
Malaysia Ke-50 Peringkat Kelantan di sini disambut sederhana tetapi 
meriah dengan kehadiran lebih 5,000 rakyat berbilang kaum. Sebanyak 56 kontinjen menyertai perarakan majlis tersebut yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Daerah Pasir Mas di sini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah. Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), 
Datuk Ismail Samah; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, 
Datuk Makhtar Mustapha dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan 
Lazim.
Antara acara yang mencuri tumpuan orang ramai ialah persembahan seni 
bela diri oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan 
dan operasi menyelamatkan mangsa kemalangan yang tersepit dalam 
kenderaan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.
Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri diberi penghormatan untuk membuat
 persembahan berikutan kejayaannya muncul sebagai johan kawad kaki 
peringkat kebangsaan di Lumut, Perak, baru-baru ini. Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mohd. Amar melahirkan rasa 
syukur dengan kejayaan penganjuran majlis tersebut yang turut dibuat 
bersempena penutup sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56.
"Syukur kepada Allah kerana sambutan Hari Malaysia dapat 
disempurnakan dengan jayanya sebagai sambutan penutup sambutan Hari 
Kemerdekaan negara kali Ke-56. "Tiga acara (telah diadakan), pertama pelancaran Jalur Gemilang pada 
31 Ogos, kita ada sambutan Hari Kemerdekaan dan hari ini, 16 September 
sambutan Hari Malaysia sebagai penutup kepada tiga program tersebut," 
katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada urus setia program dan 
semua kontinjen terlibat terdiri daripada agensi Kerajaan Pusat dan 
negeri, pasukan polis dan tentera. "Dari segi sambutan bagus, orang ramai macam biasa okeylah sebab kita buat di peringkat jajahan, Alhamdulillah," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 16 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan