Lapangan Terbang Pulau Redang, Terengganu |
SETIU: Kerajaan Terengganu merancang mengadakan perkhidmatan penerbangan dari tanah besar ke Pulau Redang bagi memenuhi permintaan pelancong.
Exco Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Mohd Jidin Shafee berkata kerajaan negeri sedang berusaha mendapatkan perkhidmatan pesawat ringan yang akan berlepas sama ada dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Lapangan Terbang Kerteh atau Lapangan Terbang Gong Kedak (Kelantan).
"Setelah siap lapangan terbang kecil di Pulau Redang, kita harap dapat menyediakan pengangkutan udara melalui pesawat ringan termasuk menggunakan helikopter ke pulau itu. Ini kerana kita lihat tarikan pelancong terutama dari China sangat menggalakkan.
"Pelancong China tidak gemar menaiki bot atau feri untuk ke Pulau Redang kerana mengambil masa yang lama selain risiko keselamatan," katanya selepas menyampaikan Insentif Perkahwinan Ibu dan Bapa Tunggal bagi kawasan Parlimen Setiu, di sini Khamis.
Menurut Mohd Jidin, berdasarkan tempahan penginapan, kira-kira 40,000 pelancong China mahu ke pulau itu namun yang benar-benar datang hanya 4,000 kerana mereka tidak mahu menghabiskan masa yang lama di laut. Selain itu katanya, Pulau Redang juga mula menerima kehadiran pelawat dari India.
Mengulas perkara berkaitan, beliau berkata sasaran empat juta pelancong ke Terengganu tahun ini dijangka dapat dicapai kerana setakat ini lebih tiga juta sudah mengunjungi negeri itu.
Sekalipun Terengganu menghampiri musim tengkujuh, kita masih ada beberapa acara yang diyakini dapat menarik pelancong antaranya pertunjukan gamelan antarabangsa, pertandingan bot berhias dan pelancongan sukan, katanya.
Sumber: BERNAMA | 26 Sept: 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan