![]()  | 
| Pemain import Terengganu, Effa Owona (kiri) menyepak bola melepasi benteng Kelantan dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin. | 
KOTA BHARU: The Red Warriors mencerahkan peluang mereka untuk
 mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2013 apabila menumbangkan 
seteru tradisi 3-1 dalam aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Ismail 
Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurut pengendali Kelantan, Bojan Hodak tiga mata penting yang 
diraih pasukannya ketika menumpaskan Terengganu itu melonjakkan lagi 
semangat barisan pemain untuk terus berusaha memastikan Kelantan ke suku
 akhir musim ini.
Katanya, percaturan meletakkan gandingan tiga pemain iaitu Zairol 
Anuar Zailani, Mohd. Badhri Radzi serta Shakir Shaari membuahkan hasil 
apabila Kelantan jelas mengusai bahagian tengah dalam perlawanan 
tersebut.
"Saya gembira percaturan ini berhasil, ketiga-tiga pemain ini 
memberikan impak yang cukup besar buat Kelantan dan berjaya mengusai 
bahagian tengah dengan baik.
"Begitu juga dengan barisan pemain yang lain, mereka beraksi dengan 
begitu baik dan kemenangan ini amat berharga buat Kelantan dalam misi 
kita melangkah lebih jauh dalam saingan musim ini," katanya ketika 
dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Hodak memberitahu, dia tetap berpuas hati dengan sumbangan yang 
diberikan oleh penyerang import, Dickson Nwakaeme walaupun gagal 
memanfaatkan beberapa peluang.
"Dickson bermain baik walaupun gagal menjaringkan gol, lagi pun di 
baru sahaja pulih daripada kecederaan. Saya harap dia akan terus 
konsisten dalam perlawanan selepas ini," ujarnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan