Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 4 September 2013

PROJEK NAIK TARAF LAPANGAN TERBANG KOTA BHARU PERLU DISEGERAKAN


Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu
PENGENALAN

WILAYAH Pantai Timur merupakan satu-satunya wilayah di Malaysia yang masih belum ada kemudahan lapangan terbang antarabangsa. Di Wilayah Utara misalnya sudah ada dua buah lapangan terbang antarabangsa, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala di Wilayah Tengah dan Wilayah Selatan masing-masing mempunyai sebuah lapangan terbang antarabangsa, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru. Di Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak pula masing-masing sudah mempunyai sebuah lapangan terbang antarabangsa, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Persoalannya, mengapa selepas lebih 56 tahun kita mencapai kemerdekaan, Wilayah Pantai Timur masih belum dilengkapi dengan kemudahan lapangan terbang antarabangsa? Bukankah keluasan wilayah ini kira-kira 50 peratus daripada keluasan Semenanjung Malaysia? Ketiadaan kemudahan lapangan terbang antarabangsa di sebelah Pantai Timur merupakan kekurangan utama wilayah ini terutamanya Kelantan yang amat bergantung kepada pengangkutan udara untuk berhubung dengan negeri-negeri lain seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, dan Johor.


KEPERLUAN DAN KEWAJARAN PROJEK NAIK TARAF

Berdasarkan statistik pengendalian penumpang tahunan bagi tiga lapangan terbang ibu negeri di Pantai Timur, iaitu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu (LTSIP), Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu (LTSM), dan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah Kuantan (LTSAS), LTSIP merupakan lapangan terbang tersibuk di Pantai Timur dari segi jumlah pengendalian penumpang dan pergerakan pesawat pada setiap tahun. Pada tahun 2012 misalnya, LTSIP mengendalikan kira-kira 1.26 juta penumpang berbanding LTSM dan LTSAS masing-masing hanya mengendalikan 0.55 juta dan 0.28 juta penumpang. Berdasarkan statistik ini, maka wajarlah LTSIP dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa. Antara kelebihan LTSIP adalah:-
  • Lokasinya yang strategik di rantau Teluk Thailand (Gulf of Thailand) yang berpotensi mengendalikan penerbangan terus antarabangsa ke negara-negara Indochina dan Thailand kerana kedudukan geografinya yang lebih dekat.
  • LTSIP merupakan pintu masuk utama para pelancong untuk ke Pulau Perhentian yang terletak di utara Terengganu.
  •  LTSIP merupakan pintu masuk utama para pelancong untuk ke selatan Thailand terutamanya penerbangan dari atau ke Kuala Lumpur. Ramai juga penduduk di selatan Thailand yang mengambil penerbangan dari LTSIP untuk ke Kuala Lumpur dan sebagainya.
  • Adanya rangkaian sistem kereta api yang menghubungkan Tumpat, Kelantan ke Kuala Lumpur dan Singapura yang boleh menjadi pelengkap kepada rangkaian sistem pengangkutan di negeri ini. Sebagai contoh, pelancong dari Bandar Raya Ho Chi Minh yang ingin ke Taman Negara Malaysia boleh mengambil penerbangan dari Bandar Raya Ho Chi Mihn terus ke Kota Bharu dan dari Kota Bharu melalui Stesen Kereta Api Wakaf Bharu mereka boleh menaiki kereta api untuk ke Taman Negara Malaysia. Perkhidmatan penerbangan dan kereta api boleh menjadi pelangkap antara satu sama lain yang memainkan peranan penting antara satu sama lain.
  • LTSIP terletak di sebelah utara Kelantan yang memang dianggap kawasan padat penduduk yang menawarkan pasaran besar kepada syarikat-syarikat penerbangan untuk pasaran penerbangan domestik dan antarabangsa. Enam jajahan di utara Kelantan merupakan di bawah lingkungan pengaruh LTSIP, iaitu Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Mas, Machang, dan Pasir Puteh serta daerah Besut di Terengganu.
  • Kemajuan ekonomi di Lembah Mekong antara yang terpesat di rantau ini. Kemajuan ini boleh membawa limpahan kepada kawasan sekitarnya termasuk perkhidmatan penerbangan antarabangsa dari Kota Bharu, Kelantan ke Bandar Raya Ho Chi Minh (Vietnam), Phnom Penh (Kemboja), dan Bangkok (Thailand).  

KOMPONEN PROJEK NAIK TARAF

Untuk membolehkan LTSIP dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa, beberapa komponen utama perlu diberi perhatian terutamanya landasan dan bangunan terminal. Landasan LTSIP wajar dipanjangkan lagi untuk membolehkan LTSIP mengendalikan pesawat berbadan lebar seperti A330-300, B777-200, dan B747-400. Hal ini kerana penerbangan haji misalnya biasa menggunakan pesawat berbadan lebar dan LTSIP boleh mengendalikan penerbangan haji terus ke Jeddah dan Madinah setelah landasannya dipanjangkan. Sebaik-baiknya landasan dipanjangkan semaksimum yang boleh berdasarkan rezab tanah lapangan terbang yang ada supaya tidak perlu lagi dipanjangkan pada masa depan. Berdasarkan rezab tanah lapangan terbang yang belum dimajukan, landasan boleh dipanjangkan sehingga 3,800 meter dengan 400 meter lagi berbaki untuk sampai atau tembus ke Jalan Raja Perempuan Zainab II di sebelah Kemumin, Pengkalan Chepa.

Keluasan bangunan terminal sedia ada yang berkeluasan 12,000 meter persegi sebenarnya sudah terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah pengendalian penumpang tahunan yang kini mencecah 1.4 juta penumpang setahun, iaitu kapasiti maksimum yang mampu ditampung oleh bangunan terminal sedia ada. Bangunan terminal wajar diperbesarkan lebih sekali ganda daripada yang sedia ada untuk menampung peningkatan berterusan jumlah pengendalian penumpang di LTSIP.

Cadangan untuk menaik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa bukanlah suatu cadangan baharu tetapi telah lama kedengaran tetapi belum ada usaha bersungguh-sungguh daripada pihak Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikannya. Pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Jabatan Kerja Raya Malaysia (Cawangan Pangkalan Udara & Maritim), Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) perlulah mengambil langkah bersungguh-sungguh  untuk menjayakan projek ini. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Kelantan dan UMNO Kelantan sendiri perlulah melakukan tindakan susulan dari masa ke masa dengan Kerajaan Persekutuan.

Pada 16 Jun 2013 yang lepas ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyokong hasrat Kerajaaan Pas Kelantan untuk meminta Kerajaan Persekutuan supaya memanjangkan lagi landasan LTSIP bagi memastikan landasan itu mencapai taraf lapangan terbang antarabangsa. Dato’ Seri Mustapa Mohamed (BN – Ayer Lanas) berkata, Kerajaan Persekutuan sejak beberapa tahun lalu telah telah membelanjakan lebih RM40 juta untuk menaik taraf lapangan terbang itu agar mampu digunakan oleh pesawat lebih besar. “Kami mahu katakan kami di BN juga menyokong supaya LTSIP dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa, itu jaminan daripada kami.” Katanya. Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad yang menjelaskan usaha kerajaan negeri supaya LTSIP dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa.

Dalam pada itu, Hanifa Ahmad juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Kelantan telah menghantar permohonan kepada Kerajaan Persekutuan supaya landasan LTSIP dapat dipanjangkan lagi dari 2,400 meter kepada 3,400 meter untuk membolehkan pesawat B747-400 mendarat. Usaha ini amat penting bagi membolehkan LTSIP mengendalikan penerbangan haji terus ke Jeddah dan Madinah selepas ini. 


PERSOALAN DAN HARAPAN

Persoalannya sekarang, bilakah projek naik taraf LTSIP akan dapat dimulakan? UMNO Kelantan misalnya sudah banyak kali memasukkan cadangan menaik taraf LTSIP kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa dalam manifesto mereka termasuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 (2008) dan PRU Ke-13 (2013) tetapi masih tidak dilaksanakan walaupun UMNO masih mengekalkan penguasaan di peringkat Kerajaan Persekutuan lebih-lebih lagi projek naik taraf lapangan terbang merupakan di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menurut Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Mustapa Mohamed perlu bersungguh-sungguh memperjuangkan kemudahan lapangan terbang yang lebih baik untuk rakyat Kelantan kerana setiap budi dan jasa yang baik tetap dikenang orang. Kerajaan Negeri Kelantan pula terutamanya Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan (UPEN) mestilah proaktif dan aktif mengambil tindakan susulan dengan pihak Kerajaan Pusat. Dilaporkan bahawa UPEN tidak bersungguh-sungguh mengambil tindakan susulan sebaik sahaja permohonan dihantar kepada Kerajaan Persekutuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan