MOHD. Badri Radzi (kiri) menjadi harapan utama untuk membawa Kelantan melakar kemenangan penting ke atas Pahang di Kota Bharu, malam ini. |
KUALA LUMPUR: Selepas tamat lima perlawanan, hanya satu pasukan sahaja yang setakat ini telah mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia 2013.
Situasi itu cukup untuk menceritakan betapa sengit saingan musim ini, sambil menunjukkan kualiti yang ada dalam kalangan pasukan bertanding semakin hampir menyamai antara satu sama lain.
Mungkin tiada siapa menjangka, pasukan berstatus kelab yang bergantung kepada pemain-pemain muda, PKNS mengorak langkah menjadi pencabar digeruni dengan menumbangkan skuad berstatus bintang, Johor Darul Takzim (Johor DT) untuk menjadi pasukan pertama ke suku akhir.
Kini, tujuh lagi tempat menjadi rebutan di antara 13 pasukan yang masih berpeluang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan malam ini. Kumpulan D paling menarik untuk disaksikan dengan hanya satu mata memisahkan antara satu sama lain.
Pertembungan Sarawak menentang Perak di Stadium Negeri dan Kedah yang akan menanti kunjungan juara Liga Super, LionsXII di Stadium Darul Aman pasti mendebarkan sehingga penghujung masa perlawanan kerana pemenang antara dua perlawanan ini bakal meneruskan cabaran di saingan kalah mati.
Walaupun Sarawak dan LionsXII mungkin dianggap calon pilihan, namun kebangkitan lewat Kedah yang mengejutkan Perak di Stadium Perak tidak boleh diperkecilkan, manakala anak-anak buah Azraai Khor sudah pasti tidak rela kempunan peluang ke suku akhir terlepas begitu sahaja selepas pernah bergelar pendahulu.
Saingan Kumpulan C yang pernah dilabel kumpulan maut tidak kurang hebatnya dengan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan masih bersaing sesama sendiri.
Cuma kelebihan buat masa ini nampaknya memihak kepada skuad Hobin Jang Hobin kerana bakal berdepan pasukan yang sudah tersingkir, Terengganu di laman sendiri dengan kemenangan akan menjamin skuad kendalian Ridzuan Abu Shah itu ke suku akhir melalui 10 mata.
Kelantan dan Pahang yang beraksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV berdepan situasi yang cukup rumit kerana jika keputusan seri dicatat, juara treble itu berpotensi besar tersingkir dengan mengambil kira Negeri Sembilan menang ke atas Terengganu kerana jaringan gol yang kurang baik berbanding skuad Tok Gajah.
Jadi, The Red Warriors tiada pilihan lain selain terpaksa membunuh Tok Gajah di kandang sendiri tanpa mengharapkan ehsan Terengganu yang akan turun dalam perlawanan yang tidak lagi memberikan sebarang makna apa-apa.
Begitupun, anak-anak buah Dollah Salleh pasti tidak akan menyerah mudah di tangan Kelantan kerana turut mempunyai keinginan yang sama.
Kumpulan A tertumpu kepada kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sime Darby dan Johor untuk mengisi slot suku akhir, manakala dalam Kumpulan B, Johor DT semakin pasti ke suku akhir.
Sumber: Utusan Malaysia | Sukan | 21 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan