![]()  | 
| Aksi hebat yang kelihatan agak lasak dalam sukan Muay Thai. | 
KOTA BHARU: Barangkali tidak keterlaluan
 jika dikatakan, betapa ruginya pihak berkenaan di Kelantan khususnya 
sekiranya mengambil sikap tidak peduli soal pembangunan sukan Muay Thai 
yang dilihat semakin berpotensi di negeri ini.
Apa tidaknya, setelah sekian lama berkisar dalam ruang yang agak 
kecil, akhirnya, buat julung kali sukan itu terpilih menjadi antara 
acara untuk dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 baru-baru
 ini.
Pemilihannya ternyata berupaya melakar satu sejarah baharu, sekali 
gus dianggap sebagai penyelamat maruah negeri ini dalam usaha merangkul 
pingat di kejohanan sukan tersebut apabila berjaya memenangi lima pingat
 emas.
Lebih membanggakan, Kelantan berjaya melahirkan dua jaguh wanita menerusi sukan lasak itu. Mungkin kejayaan ini satu kemampuan luar biasa kerana wanita Kelantan
 sejak turun-menurun lebih dikenali dengan sikap lemah-lembut, tetapi 
itulah realiti Muay Thai dan peminatnya di negeri ini.
Malangnya, sukan ini didakwa tidak pernah mendapat perhatian dan 
sokongan sewajarnya daripada kerajaan negeri dalam memajukan sukan 
tersebut sehingga memaksa ramai atletnya berhijrah ke luar semata-mata 
merebut peluang yang dilihat lebih terbuka untuk mereka aktif dalam 
permainan tersebut.
Sehubungan itu, tidak hairanlah jika acara Muay Thai dalam Sukma 
baru-baru ini kebanyakan peserta atau peninju yang mewakili 
negeri-negeri lain adalah terdiri daripada anak kelahiran negeri Cik 
Siti Wan Kembang.
Senario itu jelas menggambarkan badan berkaitan sukan di 
negeri-negeri lain lebih peka akan potensi sukan terbabit dalam 
membangunkan arena sukan negara.
Menurut Presiden Majlis Tinju Dunia (WBC) Malaysia, Datuk Seri Dr. 
Mohd. Fared Abdul Ghani, dalam konteks negeri, kekuatan sukan Muay Thai 
boleh dikatakan hampir sepenuhnya bergantung kepada persatuan yang 
berkaitan, itupun hanya dalam skala yang kecil.
"Kalau ada dalam bentuk besar pun adalah tajaan oleh 
syarikat-syarikat korporat seperti Telekom Malaysia," katanya ditemui di
 sini baru-baru ini.
Katanya, persatuan-persatuan Muay Thai di negeri ini sentiasa 
berusaha mengadakan pelbagai program atau aktiviti berkaitan di 
peringkat kampung dan daerah semata-mata memastikan sukan tersebut tidak
 terkubur begitu sahaja suatu hari nanti.
"Kadang-kadang kita berasa dukacita juga sebenarnya. Muay Thai amat 
sinonim dengan masyarakat Melayu negeri ini sejak lebih ratusan tahun 
lalu. Boleh dikatakan setiap lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, 
remaja, belia amat meminati permainan ini.
"Dalam Sukma baru-baru ini, kontinjen Muay Thai negeri betul-betul 
mendapat sokongan dan perhatian penuh Majlis Sukan Negara (MSN) walhal 
kerajaan negeri juga mempunyai badan berkaitan dengan sukan.
"Apatah lagi kita pergi (bertanding) atas nama negeri, membawa 
bendera Kelantan untuk mengharumkan nama negeri dalam bidang sukan," 
katanya.
Muay Thai adalah nama tempatan bagi sukan seni mempertahankan diri 
yang turut dikongsikan sebagai warisan budaya, begitu popular di 
negeri-negeri bersempadan dengan Thailand melalui proses asimilasi.
Permainannya lebih merujuk kepada penggunaan siku dan lutut selain tumbukan dan membentes lawan ini turut dikenali sebagai boxing Siam bagi masyarakat Melayu Kelantan.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 9 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan