Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 1 September 2013

Tiga mesin ATM kena pecah di Pengkalan Chepa

Mazlan (dua kanan) meninjau keadaan mesin ATM yang dipecahkan oleh sekumpulan penjenayah dan berjaya melarikan wang dalam satu kejadiaan di Cabang Tiga Pengkalan Chepa semalam. 
KOTA BHARU: Tiga mesin pengeluar wang automatik (ATM) sebuah bank  di Chabang Tiga Pengkalan Chepa dipecah sekumpulan penjenayah yang berjaya melarikan wang berjumlah RM667,905 dalam kejadian di sini pagi semalam.


Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 pagi itu dipercayai dilakukan lebih dari seorang suspek yang masuk melalui bumbung belakang bangunan bank itu dengan memotong jeriji besi pintu dan memecahkan tiga mesin ATM.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, modus operandi penjenayah terbabit menggunakan pintu belakang untuk memecah masuk dan mengambil wang dari tiga mesin ATM dengan mengguna gas Oxy.

“Ia dilakukan  golongan profesional yang mempunyai kemahiran memecah mesin ATM menggunakan gas terbabit di samping masuk melalui pintu belakang.

“Dipercayai penjenayah yang  sudah melakukan perancangan  awal sebelum masuk ke dalam bangunan itu,” katanya kepada media ketika ditemui di tempat kejadian.

Mazlan berkata, di dalam bangunan itu terdapat tiga mesin ATM dan satu mesin Deposit Tunai, namun mesin terbabit tidak terlibat.

“Kita melakukan siasatan secara menyeluruh dan menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti penjenayah melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam bangunan itu termasuk kedai-kedai berdekatan.

“Maklumat orang awam amat diperlukan dan jika ternampak kehadiran kereta yang mencurigakan di kawasan bank, saya minta agar orang ramai terus membuat laporan polis memandangkan dalam kes ini, penjenayah  yang memecah mesin ATM ini dipercayai datang ke kawasan itu menaiki kereta.

“Saya juga mengharapkan supaya pihak bank supaya terus melaporkan kepada kami, jika terdapat bangunan kosong di kawasan sekitar ATM.

Mazlan menambah, pada tahun ini sebanyak dua kes melibatkan mesin ATM yang menggunakan modus operandi berbeza yang mana di Pasir Mas masuk melalui pintu depan manakala dalam kejadian semalam, penjenayah terbabit menggunakan pintu belakang.


Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 1 Sept. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan