JITRA: Kewafatan Rasulullah SAW dikatakan menjadi titik tolak kepada golongan Syiah membawa mesej perpecahan kepada umat Islam.
Penyelaras Pasca Siswazah Pusat Pengajian Umum Kolej Sastera dan Sains Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Shukri Ahmad (gambar) berkata, pada Syiah, sejarah Islam mesti dimulakan dengan prasangka buruk dan kebencian.
Beliau berkata, berbekalkan konsep imamah, Syiah memulakan cerita sejarah awal dengan penuh prasangka dan kebencian, sama sekali melemparkan rasional dan mesej Islam yang sebenar.
“Peristiwa kewafatan Rasulullah ditulis sebagai permulaan sikap rakus sahabat Nabi Muhammad SAW dalam mencari kedudukan duniawi.
“Boleh dikatakan setiap buku sejarah Syiah akan menceritakan hal serupa berbekalkan hadis palsu atau hadis yang disalahtafsirkan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Khurafat Syiah: Analisis berasaskan sejarah' pada seminar itu petang kelmarin.
Menurutnya, Syiah mendakwa apabila Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab bergegas ke perkampungan Thaqifah Bani Sai’dah.
“Padahal, Saidina Ali sedang menguruskan jenazah Rasulullah. Ketika itulah, Saidina Abu Bakar dilantik sebagai khalifah dengan saranan Umar yang dikatakan sememangnya merancang agar dia boleh dilantik sebagai khalifah selepas itu.
“Saidina Ali bersama sahabat lain seperti Abbas, Zubair, Salman, Abu Dzhar, Miqdad dan Ammar setelah selesai pengebumian Rasulullah (SAW) memprotes pemilihan itu. Mereka dikatakan tidak bersetuju kerana Ali sebenarnya sudah diwasiatkan sebagai pengganti Rasulullah SAW,” katanya.
Dr Shukri berkata, Saidina Ali sebenarnya juga tidak bersetuju dengan pelantikan Saidina Abu Bakar dan berasa terkilan kerana asalnya Rasulullah SAW menamakannya sebagai pengganti.
“Asas inilah yang dijadikan kesinambungan hukum sehingga akhirnya mereka tanpa malu mencela dan ada yang mengkafirkan Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman malah ribuan sahabat yang lain.
“Bermula di sinilah Syiah terus menyerang sahabat Nabi. Keadaan ini diburukkan lagi dengan peristiwa pembunuhan Saidina Husin di Karbala. Pemuka Syiah kemudian mencipta kegilaan akibat rasa bersalah mereka kerana tidak berkesempatan menolong Saidina Husin di Karbala,” katanya. Akibatnya, saban tahun mereka mengadakan upacara menyakitkan badan sendiri apabila tiba 10 Muharam.
“Kisah sejarah ini terus diselewengkan dan diulang dari generasi demi generasi. Demikianlah rupa sejarah Islam di mata Syiah, penuh prasangka kepada sahabat Rasulullah SAW dengan meletakkan mereka pada sisi golongan biasa yang masih berebut harta duniawi dan pangkat kedudukan,” katanya.
Beliau berkata, Islam adalah agama yang berbeza dengan Kristian atau Yahudi kerana Rasulullah SAW mendidik sahabat untuk mengutamakan kehidupan akhirat berbanding dunia.
“Malah, inilah misi utama Rasulullah SAW dalam menyampaikan Islam. Golongan pertama yang mendapat pendidikan ini adalah sahabat baginda sendiri.
“Sejarah menjelaskan dengan panjang lebar pengorbanan semua sahabat, untuk mendapat keredaan ALLAH SWT demi kehidupan dan kebahagiaan di akhirat. Al-Quran juga menjelaskan misi Islam aitu akhirat adalah matlamat hidup sebenar. Manakala dunia hanyalah jambatan sementara menuju akhirat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | 14 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan