KUALA LUMPUR: Firefly akan melancarkan promosi baharu, 'Irresistibly Sexy RM35' ke semua destinasinya bermula 23 September.
Firefly dalam satu kenyataan berkata, promosi itu menawarkan dua bahagian tambang yang berbeza - RM35 tambang termasuk semua sehala bagi semua penerbangan dalam Semenanjung Malaysia dan RM105 bagi semua destinasi antarabangsa.
"Tambang itu hanya akan dijual selama dua minggu bermula esok sehingga 6 Okt dan tersedia bagi perjalanan serta merta sehingga 20 Oktober, 2014," kata syarikat penerbangan itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, tambang mampu milik itu akan membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati percutian tanpa sebarang masalah selain mampu dibayar dan dapat merasai pengalaman hospitaliti syarikat penerbangan tersebut.
"Syarikat penerbangan itu juga akan menawarkan kemudahan kebenaran bagasi percuma 20kg dan minuman dalam penerbangan, 30 minit penampan daftar masuk, kemudahan daftar masuk di web dan layan diri, serta peluang menebus mata Enrich," katanya.
Sementara itu, Firefly berkata, syarikat penerbangan tersebut juga akan mengadakan peraduan foto 'Hunt for Firefly Girls' bersama-sama dengan promosi itu.
"Peserta akan berpeluang memenangi sepasang tiket Firefly ke satu daripada destinasi-destinasi Firefly ini - Johor Bahru, Kota Bharu, Terengganu, Langkawi, Alor Setar dan Pulau Pinang," kata syarikat penerbangan itu.
Sumber: BERNAMA | 20 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan