KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar 
sejarah selepas berjaya membuka klinik veterinar termoden di Pantai 
Timur bernilai hampir RM7 juta.
Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, penubuhan
 klinik yang dilengkapi fasiliti terkini itu bertujuan memberi 
perkhidmatan kesihatan dan rawatan haiwan terbaik khususnya kepada 
penduduk negeri ini selain negeri jiran seperti Pahang dan Terengganu.
Raduan berkata, selain menjadi pusat rujukan yang ditunjangi barisan 
pakar perunding veterinar daripada tenaga akademik UMK, klinik itu juga 
berfungsi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran siswa Fakulti 
Perubatan Veterinar (FBV) universiti itu sebagaimana syarat ditetapkan 
Majlis Veterinar Malaysia (MVC).
"Klinik pengajaran adalah komponen penting bagi sesebuah fakulti 
veterinar kerana selain menangani kes-kes perubatan, kewujudannya perlu 
untuk program latihan praktikal pelajar.
"Namun, berbeza dengan klinik veterinar biasa, kami membuka akses 
untuk masyarakat kepada kepakaran 17 tenaga akademik FPV UMK yang 
sentiasa bersedia jika timbul kes-kes yang memerlukan rujukan mereka 
selain dua orang pegawai perubatan veterinar yang bertugas sepenuh 
masa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Veterinar UMK 
di Jalan Padang Tembak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pendaftar UMK, Prof. Dr. Razli Che Razak; Dekan FPV
 UMK, Prof. Dr. Mohd Azam Khan Goriman Khan dan Ketua Jabatan Klinik 
Veterinar UMK, Prof. Datin Dr. Kalthum Hashim.
Menurut Raduan, klinik yang mula beroperasi sejak awal Julai lalu itu
 dibuka dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap hari bekerja dan 
menawarkan rawatan kepada pelbagai spesies haiwan termasuk haiwan 
kesayangan, haiwan besar, ternakan serta haiwan eksotik.
Katanya, klinik itu dilengkapi peralatan canggih bernilai RM4.08 juta
 termasuk bilik bedah yang mampu mengendalikan prosedur kecil dan besar 
serta perkhidmatan pengimejan diagnostik bagi pemeriksaan radiologi 
seperti sinar-X, ultrabunyi, ekokardiogram dan endoskopi.
"Setakat ini walaupun belum mempunyai ambulans sendiri kami sudah 
memulakan perkhidmatan klinik bergerak menggunakan kenderaan yang disewa
 khas selepas terdapat permintaan merawat haiwan di ladang. "Kami kini dalam perancangan membuka sebuah lagi klinik veterinar di Kampus Bachok khusus untuk haiwan ternakan," katanya.
Tambah Raduan, FPV UMK kini mempunyai kira-kira 200 penuntut yang 
mana 37 daripadanya adalah mahasiswa tahun lima yang bakal menjadi 
graduan sulung FPV UMK tahun hadapan.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 29 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan