KOTA KINABALU: Satu pasukan petugas dibayangkan telah
ditugaskan untuk mengeluarkan dokumen pengenalan Malaysia kepada warga
asing di Sabah, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin di negeri itu,
Khamis.
Ketua pembangkang dan bekas timbalan perdana menteri itu berkata,
walaupun beliau tidak terlibat secara langsung dengan pasukan "rahsia"
itu ketika berkhidmat dengan Kerajaan antara tahun 1982 dan 1998, beliau
ada mendengar tentang hal itu.
"Ia adalah sebuah kumpulan yang beroperasi di luar skop yang mempunyai struktur sah," dakwa Anwar, saksi ke-210.
Katanya, beliau sedar sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan
kerajaan bahawa pasukan petugas rahsia telah ditubuhkan pada awal tahun
1970 ketika Tun Abdul Razak Hussein menjadi perdana menteri dan Tun Datu
Mustapha Harun menjadi ketua menteri Sabah.
Menjawab soalan daripada pegawai pengendali Manoj Kurup, beliau
berkata pasukan petugas rahsia itu adalah sebagai tindak balas terhadap
kemasukan warga Filipina ke negeri itu yang melarikan diri daripada
pemberontakan di selatan Filipina.
Anwar berkata kumpulan rahsia itu bukan merujuk kepada Pasukan
Petugas Khas Persekutuan ke atas pendatang haram di Sabah yang telah
ditubuhkan pada tahun 1980-an. Katanya, beliau percaya pasukan petugas rahsia tidak pernah dibubarkan.
"Ia bermula di bawah Tun Razak dan diteruskan di bawah Tun Dr
Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tetapi ia perlu dihentikan," katanya.
Anwar berkata, beliau tidak pernah terlibat atau secara rasmi diberi
taklimat tentang pasukan petugas rahsia dan tidak pula dijemput untuk
duduk dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh
perdana menteri.
"Saya tidak bersetuju bahawa perdana menteri tidak tahu mengenai
operasi ini. Jika ia melibatkan 5,000 dokumen, maka mungkin ya. Tetapi
di sini kita bercakap mengenai beratus-ratus ribu," katanya.
Sumber: mStar Online | 19 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan