Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 20 September 2013

Empangan akan dibina di Sungai Kelantan

Sungai Kelantan di Pasir Mas, Kelantan

KOTA BHARU: Sebuah empangan rendah akan dibina di Sungai Kelantan di Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas bagi meningkatkan paras air sungai tersebut untuk dipam ke kawasan tanaman padi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata paras air sungai tersebut sering rendah berikutan aktiviti mengorek pasir yang diluluskan kerajaan negeri Kelantan menyebabkan lebih 18,000 hektar kawasan tanaman padi di Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh terjejas akibat kekurangan bekalan air.

"Empangan yang melibatkan kos pembinaan kira-kira RM39 juta itu akan mula dibina bulan depan dan dijangka disiapkan dalam tempoh 18 bulan. Empangan ini mempunyai pintu yang akan dibuka bagi mengalirkan air pada musim tengkujuh," katanya kepada  pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata paras air sungai berkenaan yang rendah dan tidak dapat dipam ke kawasan sawah menyebabkan 6,000 petani mengalami kerugian kira-kira RM120 juta setahun sejak 2008 akibat kegiatan mengorek pasir tersebut.

"Sekiranya bekalan air mencukupi petani boleh menanam padi dua kali setahun tetapi akibat kekurangan air mereka hanya dapat mengusahakan tanaman sekali setahun," katanya.   

Beliau berkata kerajaan sudah membina beberapa buah rumah pam untuk menyedut air dari sungai tersebut untuk mengairi kawasan tanaman padi, bagaimanapun tidak dapat berfungsi dengan baik berikutan paras air sungai yang sering rendah.

Katanya pihak kementerian sudah meminta kerajaan negeri Kelantan supaya menghentikan kegiatan mengorek pasir yang  menyebabkan paras air sungai rendah, bagaimanapun kegiatan itu terus berlarutan.

Terdahulu semasa berucap pada majlis tersebut, Ismail Sabri meminta 291 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh  negara memberikan fokus utama dalam pertanian makanan negara.

Beliau berkata PPK juga perlu bertindak sebagai pemudah cara kepada peladang bagi mengembangkan sektor pertanian yang mereka usahakan termasuk membantu dari segi pamasaran hasil pertanian. 

Sumber: BERNAMA | 20 Sept. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan