PETALING JAYA: Perairan Somalia pernah menjadi laluan laut yang paling berbahaya di dunia. Namun gelaran itu kini berpindah ke lokasi yang lebih dekat apabila
perairan berhampiran Johor dan Melaka kini melepasi Somalia sebagai
sarang lanun terkemuka, demikian menurut Biro Maritim Antarabangsa.
Laporan itu menyebut peningkatan aktiviti pelanunan di Indonesia
iaitu Tanjung Priok, Dumai, Belawan, Taboneo dan Muara Jawa - kini
ditandakan sebagai kawasan panas.
Walaupun Selat Melaka masih selamat untuk laluan perkapalan
antarabangsa, badan itu bagaimanapun memberi amaran kepada pelaut untuk
mengambil langkah berjaga-jaga apabila berulang-alik antara
Malaysia, Indonesia, dan Singapura.
Kebimbangan utama adalah peningkatan jumlah serangan di perairan
Indonesia, iaitu perjalanan yang memakan masa antara 45 minit dan dua
jam perjalanan melalui laut dari Melaka dan Johor.
Dengan jumlah pulau kecil yang banyak dan muara sungai yang diliputi
hutan bakau, kawasan pantai Indonesia adalah sesuai untuk lanun
menyembunyikan dan mengelak daripada tangkap. Kumpulan lanun yang beroperasi di perairan Indonesia menggunakan senjata api, pisau dan parang.
Daripada 138 insiden lanun dicatatkan di seluruh dunia dalam tempoh
enam bulan pertama tahun ini, 48 adalah di Indonesia, lapor IMB. Walaupun sindiket pelanunan global mencatatkan penurunan dengan
ketara, iaitu turun daripada 439 kes pada tahun 2011, trend di Indonesia
bagaimanapun menunjukkan peningkatan.
Menurut IMB, kes rompakan di Selat Melaka dilaporkan menurun berikutan rondaan agresif oleh negara-negara pesisir. Ketua Unit Laporan IMB, Noel Choong berkata penguatkuasaan pemantauan
aktiviti laut di Indonesia oleh agensi penguatkuasaan berjaya
menghalang kes berkenaan daripada merebak.
Beliau berkata pihaknya memaklumkan kepada agensi yang
bertanggungjawab di Indonesia supaya mengambil tindakan agar krisis ini
tidak merebak. "Walaupun kes yang dilaporkan adalah kecurian kecil, namun ia membahayakan pelaut, " katanya.
Sumber: mStar Online | 24 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan