Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 10 September 2013

Elak hakisan pesisir pantai

Shahiah (kiri) menanam pokok sambil diperhatikan oleh murid SK Pulau Kundor.
KOTA BHARU: Bagi mengelak hakisan di kawasan pesisir pantai, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan mengadakan kempen menanam pokok rhu di sekitar pantai Pulau Kundur, di sini, kelmarin.

Projek itu melibatkan penanaman 4,913 anak pokok rhu, yang turut disertai 200 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundur bagi memupuk semangat kesedaran supaya bersama-sama memelihara alam sekitar melalui kempen tersebut.

Pengarah Perhutanan negeri, Shahiah Abdul Karim berkata, program penanaman itu disasarkan kepada murid kerana mereka adalah golongan bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang.

“Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, jadi kesedaran ini perlu dipupuk sejak awal lagi supaya mereka juga mempunyai keprihatinan terhadap alam sekitar dan mengekalkan keindahan semula jadi kawasan sekitar pantai.

“Jadi kita anjurkan program yang mereka suka supaya dapat menggalakkan mereka sertai kempen seumpama ini bagi mewujudkan kesedaran mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen tersebut.

Beliau turut menyertai gimik perasmian dengan menanam pokok rhu bersama 200 murid tahun 3 hingga 6 dari sekolah berkenaan.

Shahiah berkata, setakat tahun ini Kerajaan Persekutuan dan negeri memperuntukkan hampir RM100,000 untuk projek penanaman pokok seumpama itu termasuk tanaman pokok bakau bagi memulihara kawasan sekitar Pantai Cahaya Bulan, Pantai Genting di Tumpat dan di Bachok.

“Sebenarnya projek tanaman tepi pantai di negeri ini bermula sejak 2004 lagi selepas kejadian tsunami, yang melibatkan penanaman pokok rhu dan bakau.

“Setakat ini sehingga tahun lalu, jabatan perhutanan telah menanam pokok rhu di kawasan seluas 56.18 hektar dengan 36, 769 pokok, sementara tanaman bakau di kawasan 19.46 hektar dengan melibatkan 138,110 pokok di tanam di Delta Kelantan, Tumpat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 6 Sept. 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan