KOTA BHARU: Nilai jualan hasil kraf negeri Kelantan mencecah lebih RM56 juta dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan antara lima hingga 10 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Mohd. Razis Md. Said berkata, pencapaian tersebut banyak disumbangkan oleh industri batik yang mencatat hampir 50 peratus daripada keseluruhan nilai jualan.
Justeru, katanya, beliau yakin sasaran yang diletakkan pihaknya untuk memperoleh nilai jualan hasil kraf sehingga RM70 juta tahun ini tidak sukar dicapai. Pencapaian setakat ini adalah hasil kerjasama jitu dengan para usahawan kraf yang menyokong penuh program-program promosi yang dianjurkan pihak perbadanan untuk faedah mereka.
Para usahawan kita daripada pelbagai bidang sama ada tekstil, hasil rimba seperti ukiran kayu dan sebagainya komited mengikuti program promosi yang dijalankan sama ada di dalam atau luar Kelantan. Kerjasama erat ini akan kita tingkatkan dan pada pertengahan September ini, kita akan hantar mereka menyertai promosi hiasan dalaman dan seni taman pula di Kompleks Kraf Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Usahawan Kraf di Pusat Jualan Kraf Kelantan di Batu 2 di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd. Kamil Mohd. Ali dan Pengarah Bahagian Usahawan, Ibrahim Ismail.
Dalam pada itu, Mohd. Razis berkata, terdapat 560 usahawan kraf dalam pelbagai bidang dari negeri ini yang telah berdaftar dengan pihak perbadanan. Kita kini sedang berusaha membangunkan lagi perusahaan tradisional hasil logam perak dengan memperbanyakkan rekaan yang menjadi tuntutan pasaran contohnya perhiasan wanita," katanya.
Beliau berkata, tukang perak tradisional lebih banyak menghasilkan produk kasar iaitu yang bersaiz besar sedangkan memakan kos yang tinggi, sekali gus membataskan kuasa beli masyarakat umum. Kebanyakan tukang perak lama lebih menyukai produk kasar seperti bekas-bekas yang besar, apabila produk yang dihasilkan itu besar akan menggunakan bahan mentah perak yang banyak, jadi sudah pasti kosnya tinggi.
Penghasilan dengan rekaan terhad begini hanya sesuai untuk badan korporat sahaja yang tidak bermasalah membeli barangan perak dengan harga RM7,000 atau lebih tetapi tidak masyarakat biasa," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 30 Ogos 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan