Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 23 September 2013

Cuti-cuti Malaysia: Jom ke Sabah bah!

SELAMAT DATANG

Bandar raya Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia Timur.
Selamat datang negeri Sabah, Malaysia! Negeri Sabah terletak di sebelah utara Pulau Borneo, iaitu pulau terbesar di Asia dan yang ketiga di dunia. Ibu negeri Sabah ialah Kota Kinabalu (KK) yang terletak di Bahagian Pantai Barat, Sabah dan dahulunya dikenali sebagai Jesselton. Ibu negeri Sabah ini telah mencapai status bandar raya pada 1 Februari 2000 dan merupakan gerbang utama utama ke Sabah dan Malaysia Timur melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya.

KKIA menjadi pintu masuk utama untuk ke Gunung Kinabalu, iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara. Dalam pada itu, Kota Kinabalu juga biasa menjadi tuan rumah beberapa acara sukan, pelancongan, dan persidangan antarabangsa kerana keindahan dan tarikannya yang tersendiri. Sebagai contoh dalam tempoh enam tahun lepas, Kota Kinabalu sudah dua kali menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan bagi merebut gelaran Mr. Malaysia, iaitu pada tahun 2007 dan 2012.


TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI SABAH

Menara Tun Mustapha di Teluk Likas
Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu – Antara tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di pusat bandar raya Kota Kinabalu ialah Tebingan Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Waterfront), dan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (juga dikenali sebagai Pasar Filipina oleh penduduk tempatan dan pelancong). Antara kompleks beli-belah moden yang boleh anda kunjungi ialah Centre Point Sabah, Wisma Merdeka, KK Plaza, Warisan Square, dan Suria Sabah.

Luar Pusat Bandar Raya Kota Kinabalu – Antara tempat-tempat menarik di luar pusat bandar raya Kota Kinabalu ialah Masjid Negeri Sabah, Muzium Sabah, Menara Tun Mustapha (dahulunya dikenali sebagai Menara Yayasan Sabah di Teluk Likas), Masjid Bandar Raya Kota Kinabalu (Teluk Likas), Pantai Tanjung Aru (berdekatan KKIA), dan Taman Tunku Abdul Rahman.

Lain-lain – Taman Kinabalu (Gunung Kinabalu), Kolam Air Panas Poring (Ranau), Pusat Santuari Orang Utan Sepilok (Sandakan), Pulau Sipadan (Semporna), Pulau Mabul (Semporna), Pulau Tiga (Kuala Penyu), Pulau Penyu dan Kundasang. Untuk informasi lanjut, sila layari laman sesawang rasmi Sabah Tourism: www.sabahtourism.com


TAMAN TUNKU ABDUL RAHMAN
Peta Taman Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Sulug, dan Pulau Mamutik

Kunjungan ke Kota Kinabalu tidak sah jika tidak ke Taman Tunku Abdul Rahman yang hanya terletak di perairan Kota Kinabalu, Sabah. Taman negeri ini terdiri daripada lima buah pulau, iaitu Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Sapi, Pulau Sulug, dan Pulau Mamutik. Pulau Sapi merupakan antara tarikan utama di taman negeri ini dan merupakan lokasi perkelahan dan snorkeling yang sungguh mempersonakan. Di Pulau Sapi juga anda akan menemui biawak bersaiz besar di kawasan kemudahan awam di pinggir hutan di pulau ini. Untuk ke sini, anda boleh menaiki bot dari Jeti Jesselton Point di pusat bandar raya Kota Kinabalu atau dari Jeti Sutera Harbour Resort. Setiap pembelian tiket merupakan tiket pergi balik dan tidak perlu risau untuk kembali semula ke bandar raya Kota Kinabalu. Untuk maklumat lanjut tentang taman negeri ini, sila layari: www.sabahparks.org.my.
 
Pulau Sapi di Taman Tunku Abdul Rahman, Kota Kinabalu

MAKANAN LAUT

Restoran Kampung Nelayan di Taman Tun Fuad, KK
Bandar raya Kota Kinabalu semenangnya begitu sinonim dengan makanan laut seperti udang, ketam, dan sebagainya. Kebanyakan restoran terutamanya di pusat bandar raya menawarkan hidangan makanan laut terutamanya di kawasan Kampung Air, Asia City, dan Tebingan Kota Kinabalu. Makanan laut boleh dianggap tarikan utama di bandar raya ini. Hidangan makanan laut ini biasanya dihidangkan pada waktu malam dan alaminya keseronokan bercuti di bandar raya ini. Restoran Kampung Nelayan di Taman Tun Fuad, Bukit Padang, Kota Kinabalu merupakan antara tempat makan menarik di bandar raya ini pada waktu malam. Nikmati hidangan makan malam anda dengan diiringi persembahan kebudayaan Sabah oleh anak Sabah di restoran terapung ini. 


OLE-OLE

Pasar Kraftangan. Foto ihsan: onggon.com
Hasil Laut – Jika ke Kota Kinabalu, kebiasaannya pelancong domestik membawa pulang hasil laut seperti ikan masin, ikan kering, udang kering, ikan masing, sotong kering, dan sebagainya yang boleh dibeli di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu dan Pasar Kraftangan Kota Kinabalu (juga dikenali sebagai Pasar Filipina), dan Pasar Besar Kota Kinabalu. Ketiga-tiga buah pasar ini terletak di tepi laut dan berdekatan antara satu sama lain. Ada sesetengah peniaga di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu ini menyediakan perkhidmatan pembungkusan percuma supaya barangan yang anda beli mudah dibawa pulang dengan pesawat. Mereka amat mesra  dan anda boleh tawar menawar sehingga anda berpuas hati dengan harga yang diputuskan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                   

Pasar Ikan Masin.. Foto ihsan: hassan1663.blogspot.com
Kuih Cincin – Kuih cincin merupakan kuih tradisional masyarakat Melayu Brunei di Sabah dan menjadi makanan istimewa bagi semua etnik di Sabah. Kuih ini diperbuat daripada gula, gula nipah (gula apong), tepung beras, minyak masak, air dan gula Melaka. Adunan ini akan dibentuk seperti bunga cincin sebelum dicelup dengan adunan tepung beras dan digoreng. Ia kemudiannya akan dicelup dalam adunan tepung beras sekali lagi sebelum digoreng kali kediua bagi menjadikannya lebih rangup. Kuih ini boleh didapati di Pasar Ikan Masin Kota Kinabalu yang terletak berhampiran Hotel Le Meridien Kota Kinabalu.


KEMUDAHAN PENGINAPAN

Hotel The Pacific Sutera di Sutera Harbour Resort, KK
Hotel Bertaraf Bintang – Jika anda mempunyai peruntukan yang besar untuk penginapan, anda boleh menginap di hotel-hotel bertaraf bintang seperti Hotel Hyatt Regency Kinabalu, Hotel Le Meridien Kota Kinabalu, Hotel Cititel Express Kota Kinabalu, Hotel Shangri-La Kota Kinabalu, Hotel Promenade, dan sebagainya. Manakala hotel terbaik di Kota Kinabalu, iaitu Hotel The Pacific Sutera dan Hotel Magellan Sutera terletak di Sutera Harbour Resort, iaitu kira-kira 2km dari pusat bandar raya.  Hotel-hotel lain ialah Nexus Resort & Spa Karambunai dan Shangri-La's Tanjung Aru Resort & Spa.

Hotel Bajet & Sederhana – Hotel bajet (budget hotel) dan hotel bertaraf sederhana juga mudah didapati di pusat bandar raya Kota Kinabalu terutamanya di sekitar Kampung Air. Antaranya Hotel Rafflesia, Le Hotel, Hotel Hii-5, Lavender Lodge, Hotel Traveller, Hotel Sri Iskandar, Hotel Ruby, Hotel Islamic, dan sebagainya. Nota: Anda boleh membuat tempahan hotel dengan menghubungi hotel tersebut atau membuat tempahan melalui Agoda (www.agoda.com.my). Ia sungguh mudah! 


PERKHIDMATAN SEWAAN KERETA

Jika anda tiba di KKIA dan ingin melakukan  perjalanan ke beberapa tempat menarik di negeri ini seperti Taman Kinabalu, Kundasang, Ranau, Sandakan, dan sebagainya, anda bolehlah menyewa kereta sepanjang berada di negeri ini. Beberapa syarikat sewaan kereta ada menyediakan perkhidmatan sewaan kereta di KKIA (Terminal 1 & 2) seperti Borneo Express Rent A Car & Tour Sdn. Bhd dan Hertz.



CARA KE SANA

Syarikat penerbangan AirAsia menawarkan penerbangan tiga kali seminggu bagi laluan Kota Kinabalu – Kota Bharu (mulai 16 November 2013). Penerbangan dari Kota Bharu ke Kota Kinabalu mengambil masa kira-kira 2 jam 40 minit sahaja melintasi Laut China Selatan. Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman sesawang AirAsia: www.airasia.com. Setibanya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), anda boleh mengambil perkhidmatan teksi berkupon untuk ke pusat bandar raya Kota Kinabalu dengan tambang sekitar RM30.00 sehala. 

Manakala dari pusat bandar raya ke KKIA, anda boleh mengambil teksi dari Stesen Teksi Kampung Air atau mana-mana tempat lain di pusat bandar raya dengan tambang sekitar RM30.00 sehala. Nota: Perkhidmatan penerbangan terus dari Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia) ke Kota Kinabalu juga boleh didapati dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru, manakala warga Terengganu, Narathiwat, Pattani dan Yala (selatan Thailand) boleh mengambil penerbangan terus ke Kota Kinabalu dari Lapangan Terbang Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

URUSAN IMIGRESEN

Warga Malaysia Barat (Semenanjung Malaysia) yang ingin memasuki Sabah hanya perlu mengemukakan kad pengenalan MyKad sahaja dan akan diberikan resit imigresen yang perlu disimpan dan mesti dikembalikan semula ketika ingin meninggalkan Sabah. Anda juga boleh mengemukakan pasport antarabangsa Malaysia untuk memasuki Sabah sama seperti memasuki mana-mana negara asing lain.

Bandar raya Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia Timur.

CADANGAN & NOTA PERJALANAN

  • Sebaik-baiknya cari kemudahan penginapan di kawasan pusat bandar raya supaya senang untuk anda bergerak ke semua tempat menarik di pusat bandar raya seperti Tebingan Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Waterfront) dan kompleks-kompleks beli-belah dengan hanya berjalan kaki.
  • Kemudahan penginapan bajet banyak didapati di kawasan Kampung Air dan Asia City di pusat bandar raya Kota Kinabalu.
  • Jika menginap di Kampung Air, anda boleh makan di sebuah restoran India Muslim dengan nama Restoran Islamic atau berjalan kaki sahaja ke Asia City.
  • Perkhidmatan teksi untuk ke KKIA boleh didapati dari Kampung Air dengan tambang sekitar RM30.00 sahaja.
  • Kampung Air bukanlah sebuah kampung di atas air. Ia hanyalah nama tempat yang mempunyai sejarah tersendiri. Kampung Air merupakan kawasan perniagaan dan banyak hotel bajet mudah didapati di kawasan ini.
  • KKIA mempunyai dua buah bangunan terminal, iaitu Terminal 1 (Penerbangan Malaysia, MASwings & Malindo Air) dan Terminal 2 (AirAsia). 
  • Setibanya di KKIA, anda bolehlah mendapatkan peta dan informasi pelancongan di kiosk Tourism Malaysia secara percuma supaya mudah untuk anda menganggar jarak dan lokasi sesuatu tempat yang ingin dikunjungi. 
  • Jika anda ingin menyewa kereta, kaunter perkhidmatan sewaan kereta ada disediakan di Terminal 1 dan 2, KKIA. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan