  | 
| Tandas dalam keadaan serba uzur di Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang. | 
 Malah, tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini digamit rasa bimbang 
akan kemudahan tersebut dijadikan sarang maksiat dan judi oleh pihak 
tidak bertanggungjawab memandangkan kelihatan daun terup berselerakan di
 lantai dewan berkenaan.
 Bangunan tandas yang difahamkan sudah tidak digunakan turut terbiar 
semakin usang dilitupi semak samun bukan sahaja menyakitkan mata 
memandang, malah lebih menakutkan jika ia menjadi sarang makhluk berbisa
 yang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung.
 Papan tanda yang menjadi panduan utama para pengunjung kelihatan 
lusuh dengan huruf atau perkataan agak kurang jelas menimbulkan 
kekeliruan apabila tidak diganti baharu. Kawasan sekitarnya nampak suram, hanya sesekali kelihatan kelibat 
dua hingga tiga orang pengunjung memasuki kawasan terbabit kemudian 
selang beberapa minit berlalu pergi.
 Persoalannya, kenapa lokasi yang dianggap berpotensi itu terbiar 
yang lama kelamaan tidak mustahil sejarah kewujudannya akan lenyap dalam
 amukan waktu, walhal nilainya sangat tinggi dari sudut pembangunan 
ekonomi dan sosial yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk tempatan.
 Hutan Lipur Bukit Bakar terletak di Kampung Limau Nipis dekat sini 
mula dibuka dengan rasminya pada 1975. Ia merupakan sebuah kawasan 
rekreasi paling popular di daerah ini. Keluasannya meliputi 3.14 hektar 
terletak dalam kompartmen enam Hutan Simpan Ulu Sat. 
 Beberapa penduduk tempatan meminta pihak berkenaan menaik taraf 
kawasan terbabit agar suatu hari kelak ia berupaya menjadi pusat 
pelancongan terkenal di negeri ini. Mereka berpendapat pusat rekreasi yang kaya dengan flora dan fauna 
itu mampu dijadikan produk pelancongan sekiranya dibangunkan secara 
tersusun dan strategik.
 Seorang penduduk, Wan Khatijah Wan Ali, 48, berkata, suatu ketika 
dahulu kawasan tersebut memang menjadi tumpuan ramai pengunjung terutama
 pada musim cuti sekolah dan hujung minggu kerana kawasannya yang 
menarik.
 Bagaimanapun katanya, sekarang ini situasi tersebut sudah tidak 
dapat dirasai lagi apabila pengunjungnya amat berkurangan berbanding 20 
tahun lalu. Dahulu kita boleh lihat orang beriadah, berkhemah sampai dua tiga 
malam di sini tapi sekarang ini jarang diadakan," katanya ditemui di 
sini baru-baru ini.
 Bagi Zulkifli Nordin, 29, pula, jika kawasan terbabit dibangunkan 
dengan segala kemudahan secara tidak langsung dapat membantu penduduk 
tempatan menambah peluang pendapatan melalui pelbagai aktiviti seperti 
berniaga secara kecil-kecilan.
 Apabila membangun sudah semestinya kawasan ini akan menjadi tumpuan
 ramai termasuk pelancong dari dalam dan luar negeri. Dengan itu 
penduduk tempatan mempunyai ruang lebih luas untuk menambah sumber 
pendapatan keluarga di kawasan sendiri," katanya.
 Norhafisahima Mohamad, 17, pula meminta pihak bertanggungjawab 
menaik taraf pusat rekreasi itu mengikut perkembangan semasa bagi 
memastikan keselesaan kepada pengunjung setiap kali bertandang ke 
kawasan terbabit.
 Sementara itu Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub 
berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sememangnya mempunyai kerangka 
atau pelan tertentu dalam usaha membangunkan pusat tersebut bagi 
membantu memajukan sektor pelancongan negeri ini khususnya.
 Namun, ia menghadapi kesukaran untuk berbuat demikian kerana kawasan terbabit berada di bawah kuasa penuh kerajaan negeri.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 19 Sept. 2013 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan