KOTA BHARU: Kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat 
Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) tahun lalu adalah sebanyak RM113.16 juta
 iaitu rekod tertinggi sejak 100 tahun penubuhannya dan peningkatan 
hampir sekali ganda berbanding 2009 iaitu RM66.51 juta.
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamarudin Mohd. Zain berkata, 
pencapaian tersebut dijangka mampu diatasi tahun ini memandangkan jumlah
 zakat yang dikutip sehingga November 2013 berjumlah RM98.19 juta.
Menurut beliau, pelbagai kejayaan yang dikecapi MAIK bukan setakat 
daripada usaha setiap pekerjanya dan kerjasama masyarakat sebaliknya ia 
menjadi semakin pesat sejak Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad 
Fa-iz Petra dilantik menjadi Yang Dipertua MAIK.
"Sejak baginda menerajui MAIK pada 2009, MAIK mendapat penarafan 
empat bintang daripada Jabatan Audit Negara dalam pengurusan kewangan 
berdasarkan indeks akauntabiliti selama empat tahun berturut-turut.
"MAIK juga telah mendapat penarafan lima bintang dalam pertandingan 
portal 2012 dengan menduduki rangking ke 17 daripada 1,349 portal 
seluruh agensi kerajaan," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santapan Malam 
Kesyukuran Sempena Penganugerahan Ijazah Doktot Falsafah oleh University
 College Of London pada 28 Ogos lalu kepada Tengku Mahkota Kelantan.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V turut berkenan hadir ke majlis santapan itu. Sementara itu, Kamarudin berkata, jumlah agihan zakat kepada golongan
 asnaf juga meningkat kepada RM100.85 juta tahun lalu berbanding hanya 
RM58.82 juta pada 2009 manakala tahun ini sejumlah RM91.33 juta telah 
diagihkan.
Menurut beliau, fokus utama MAIK kini adalah untuk memperbanyakkan 
program yang mampu menjana pendapatan kepada rakyat dan membasmi 
kemiskinan di seluruh Kelantan. "Program-program ini telah pun dimulakan dan sedang giat berjalan 
iaitu pendidikan, kesihatan, mengadakan peluang pekerjaan, program 
perumahan dan program latihan vokasional.
"Kesemua program itu adalah strategi yang dilaksanakan khusus untuk 
golongan asnaf Kelantan bagi memastikan taraf hidup mereka meningkat 
pada masa hadapan," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 12 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan