Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 26 September 2013

Tujuh kes pembunuhan membabitkan senjata api di Kelantan dianggap selesai

KOTA BHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menganggap tujuh kes pembunuhan yang membabitkan penggunaan senjata api yang berlaku di Kelantan tahun ini selesai apabila kesemua suspek yang terbabit telah dikenal pasti.

Timbalan Menterinya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata suspek yang sudah dikenal pasti itu kini masih diburu berikutan ada antaranya melarikan diri ke negara jiran selepas melakukan jenayah terbabit. "Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) ada tanya kenapa tak menggunakan mekanisme Interpol. Ini memakan masa kerana proses, prosedur dan undang-undang Interpol memakan masa yang panjang.

"Tapi pokoknya kita mengetahui kes ini dan dalam istilah lain ia telah selesai kerana kita tahu siapa orangnya, bagaimana ia berlaku, ada saksi... sudah mencukupi," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata hasil siasatan mendapati antara motif utama beberapa siri kejadian tembakan tersebut disebabkan perniagaan dan balas dendam serta suspek yang terlibat juga dikenali oleh mangsa.

Mengenai kawalan sempadan Malaysia - Thailand yang bakal diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia daripada Angkatan Tentera Malaysia, beliau berkata proses peralihan tugas itu mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan.

"Proses peralihan tugas ini bukan semudah yang kita fikirkan. Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan KDN akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertahanan. "Perbincangan ini akan dilaksanakan kerana pengumuman telah dibuat. Maknanya ada persetujuan daripada pihak atasan," katanya.
 
Sumber: BERNAMA | 20 Ogos 2013 |

Tiada ulasan:

Catat Ulasan