KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam 
(MPKB-BRI) berjaya mengutip sebanyak RM108,207 tunggakan cukai bandar 
dalam operasi di beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, jumlah tersebut hasil 
operasi yang dijalankan ke atas 97 premis bermula 4 September lalu 
sehingga semalam. Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 28 pemilik premis telah
 menjelaskan tunggakan cukai bandar semasa operasi berkenaan dijalankan.
"Sebanyak lapan buah premis telah disita, manakala 24 lagi telah 
dibayar oleh penyewa melalui perjanjian potong sewa iaitu sewa bulanan 
dipotong kepada MPKB-BRI sebanyak mana amaun tunggakan.
"Selebihnya, dikeluarkan Tali Kuning kerana pemilik atau penyewa 
tiada di rumah semasa operasi dan hampir 50 peratus telah datang ke 
pejabat untuk buat bayaran," katanya menerusi satu kenyataan di sini 
semalam.
Fauzi memberitahu, operasi itu dijalankan bagi memberi kesedaran 
kepada orang ramai untuk tampil menunaikan kewajipan membayar cukai 
bandar.
"Dengan cara ini juga kita dapat menggalakkan mereka yang masih 
mempunyai tunggakan cukai bandar supaya segera membuat pembayaran 
sebelum tindakan tegas diambil," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan cukai bandar
 dan cara pembayarannya, boleh terus menghubungi bahagian cukai bandar 
MPKB-BRI menerusi talian 09-7402121.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 23 Sept. 2013 | 
.png)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan