Buat masa ini kira-kira 90 peratus peniaga di Kompleks Bazar Abdul Rahman b. Auf terpaksa menutup kedai kerana ketiadaan pengunjung sejak tujuh tahun is beroperasi. |
RANTAU PANJANG: Kompleks Bazar Abdul Rahman B. Auf yang dibina menggunakan belanja yang besar, di sini, mungkin menjadi projek gajah putih dan tidak mustahil 15 peniaga yang masih beroperasi di bangunan itu bakal gulung tikar, tidak lama lagi.
Buat masa ini, ketiadaan pengunjung sejak tujuh tahun bangunan berkenaan beroperasi telah memaksa 90 peratus peniaga asal menutup kedai.
Menurut seorang peniaga, Rosnani ibrahim, 43, keadaan ini berlaku berikutan pengunjung tidak menyedari wujudnya urus niaga dalam bangunan berkenaan kerana beranggapan ia belum beroperasi sepenuhnya.
Katanya, kewujudan Pasar Besar Rantau Panjang juga memberi kesan kepada peniaga di Kompleks Bazar Abdul Rahman B. Auf apabila pengunjung hanya tertumpu di kawasan depan manakala pengunjung yang datang ke bangunan berkenaan pasti berpatah balik apabila mendapati banyak kedai tidak beroperasi.
"Dalam sehari, kami boleh kira dengan jari bilangan pengunjung ke sini. Itu belum kira hasil jualan seharian. Ada kalanya kami hanya mampu jual pakaian sebanyak RM100 dalam sebulan," katanya.
Rosnani turut merasakan seolah-olah peniaga di bangunan itu dianaktirikan dan pihak berkenaan seumpama lebih menumpukan perhatian kepada peniaga-peniaga di pasar lama.
"Suasana di sini jauh lebih selesa, sejuk dan tersusun berbanding pasar lama. Malah surau yang disediakan lebih luas dengan kemudahan tandas lebih bersih. Sayang kerana tiada pengunjung masuk ke sini," katanya.
Sewa lebih mahal
Seorang lagi peniaga, Zainudin Che Ismail, 27 memaklumkan, keadaan yang dihadapi sekarang ini memberi kesan kepada peniaga kerana menanggung kerugian lantaran terpaksa membayar sewa kedai sebanyak RM400 sebulan.
"Itu belum tambah bayaran bil telefon, air, elektrik dan gaji pekerja. Saya terpaksa mencari inisiatif lain seperti menjual secara melalui internet untuk menampung semua kos berkenaan.
"Sekiranya peniaga tidak mempunyai kemahiran jualan secara atas talian, perniagaan mereka pasti 'melingkup' dalam tempoh masa yang singkat," katanya.
Tambah Zainudin, peniaga di Kompleks Bazar Abdul Rahman B. Auf hilang punca untuk mengadu nasib mereka setelah pelbagai cara dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian.
Katanya, terdapat peniaga yang meluahkan masalah tersebut kepada Kerajaan Negeri Kelantan melalui Ahli Parlimen dan juga majlis daerah.
Jangan pentingkan diri
Sementara itu, Suhaiza Sahar, 30 meminta peniaga di Pasar Besar Rantau Panjang agar tidak mementingkan diri mereka dan segera berpindah ke bangunan baru.
Menurutnya, sehingga hari ini banyak masa terbuang kerana peniaga-peniaga berkenaan enggan berpindah walaupun bangunan baru telah dirasmikan tahun lalu.
"Macam-macam alasan mereka berikan. Selagi mereka tidak berpindah, selagi itulah peniaga dalam bangunan sekitar sini tidak dapat menjalankan urus niaga.
"Kami mohon jasa baik Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM) agar lebih tegas dalam menangani keengganan peniaga berpindah ke bangunan baru kerana ia membebankan peniaga lain," katanya.
Suhaiza berkata, sejak dua tahun memulakan perniagaan pakaian di Kompleks Bazar Abdul Rahman B. Auf, dia mendengar pelbagai khabar angin mengenai penetapan tarikh berpindah.
Menurutnya, bermula 10 Oktober 2011 lalu, peniaga di pasar lama sepatutnya mengosongkan tapak kerana bangunan baru telah dirasmikan oleh bekas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Ng Yen Yen.
"Bagaimanapun, terdapat khabar angin mengatakan arahan berpindah dari pasar lama ke bangunan baru telah ditunda sebelum perayaan Aidilfitri, kemudian dilanjutkan sehingga Hari Raya Aidiladha pada tahun lalu.
"Semuanya menjadi cakap-cakap kosong kerana sehingga ke hari ini, lot kedai dalam bangunan ini terus kosong," jelasnya.
Peniaga di bazar ini turut meragui kebenaran arahan berpindah dari tapak pasar besar ke bangunan baru Rantau Panjang bermula 1 Oktober ini. Ini kerana sudah banyak arahan berpindah dikeluarkan sejak dua tahun lalu, namun keadaan sama tetap berlaku.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 11 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan