KOTA BHARU: Suasana di Rumah Tunas Harapan (RTH) Pakatan Kasih, Pengkalan Chepa di 
sini, ternyata cukup ceria dengan telatah 10 kanak-kanak dan remaja di 
rumah perlindungan itu walaupun nasib mereka tidak bertuah seperti 
golongan seusia di luar sana.
Ketika rakan-rakan sebaya mereka ketika ini sedang membesar dengan 
kasih sayang ibu bapa serta adik-beradik lain namun mereka melalui nasib
 berbeza di sini. Walau bagaimanapun, dengan keramahan dan keceriaan yang ditunjukkan 
kanak-kanak berkenaan cukup membuktikan mereka juga mampu mengecapi 
kebahagiaan seperti kanak-kanak dan remaja lain. 
Berperanan sebagai pusat kebajikan yang dikendalikan Jabatan 
Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, RTH telah beroperasi sejak 1998 dengan 
menempatkan kanak-kanak dan remaja yang berasal daripada keluarga miskin
 dan bermasalah seperti ibu bapa bercerai serta penderaan.
Institusi yang menggunakan konsep 'Ibu Pelihara' itu berfungsi 
menempatkan kanak-kanak yang berumur sehingga 18 tahun yang terbiar 
tanpa pembelaan mana-mana pihak dan kes mereka telah dirujuk kepada JKM.
Di RTH, kanak-kanak dan remaja dijaga dua pasangan suami isteri iaitu
 Hamidah Yusoff, 37, dan suaminya, Hanafi Mohd. Hassan, 42, serta 
Norasiah Nordin, 46, dan Mat Jusoh Ismail, 52. Kedua-dua pasangan itu dipertanggungjawab menjadi ibu dan bapa kepada
 sebuah keluarga besar bagi mendidik, menjaga dan memberikan kasih 
sayang kepada penghuni di RTH.
Ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini, Hamidah 
yang sudah enam tahun menjadi 'ibu pelihara' di pusat itu meluahkan rasa
 gembira dapat tinggal dan menjaga anak-anak di RTH ini. "Saya cukup gembira dapat mencurah kasih sayang dan menjaga mereka 
semua walaupun mereka bermacam-macam kerenah yang harus dilalui.
"Ini adalah satu tanggungjawab yang perlu saya laksanakan dan kami 
sudah menganggap mereka seperti anak-anak kami sendiri memandangkan kami
 tidak mempunyai anak," katanya. Tugas Hamidah memerlukan dia memantau aktiviti serta menjaga dan 
menguruskan segala keperluan kanak-kanak dan remaja di situ, bermula 
seawal pukul 5 pagi lagi tanpa mengenal erti penat.
"Apabila bersama-sama mereka, saya berasa bahagia dan tidak tertekan 
kerana sudah terdetik di hati ingin memberi kasih sayang dan mengajar 
mereka menjadi insan berguna pada masa hadapan. "Setiap hari saya akan memantau segala aktiviti kanak-kanak di sini 
selain melakukan kerja-kerja tambahan seperti memasak, mengajar mereka 
mengaji al-Quran dan banyak lagi," katanya.
Dia berkata, pada mulanya timbul perasaan tidak yakin dapat menjaga 
mereka namun dia menganggap itu sebagai cabaran buat dirinya dan suami. "Setiap cabaran yang dilalui sepanjang berkhidmat di rumah itu 
dianggap perkara kecil dan tidak langsung mematahkan semangat saya untuk
 terus berbakti.
"Kadang-kadang, mereka suka memberontak kerana sangat memerlukan 
perhatian dan kasih sayang memandangkan mereka terpaksa hidup berjauhan 
dengan keluarga. "Sebelum ini, hanya saya dan suami yang bersama-sama menjaga 10 
anak-anak di sini tetapi sekarang saya menjaga lima orang anak dan lima 
lagi dijaga oleh Norasiah," katanya.
Hamidah sangat bersyukur kerana berpeluang menjadi ibu kepada mereka 
walaupun pelbagai dugaan dilalui bagi mendidik anak-anak di sini. "Saya cukup gembira kerana dapat menghabiskan masa lapang bersama 
anak-anak di sini dan melihat telatah mereka sudah cukup membahagiakan 
kami suami isteri," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM Negeri Kelantan, Muhammad Zain Mahmud
 berkata, rumah tersebut menempatkan anak-anak terbiar tanpa pembelaan 
mana-mana pihak dan mereka dirujuk kepada pihak JKM untuk membantu.
"Anak-anak akan tinggal di rumah tersebut bagi meneruskan 
persekolahan sehingga berusia 18 tahun sebelum menyambung pelajaran ke 
peringkat yang lebih tinggi, mengikuti latihan kemahiran atau mendapat 
pekerjaan.
"Sebanyak RM68,000 setiap tahun diperuntukkan kepada institusi 
tersebut termasuk untuk kos pendidikan, pengurusan makanan, pakaian 
serta penambahbaikan," katanya. Sementara itu, penghuni, Mohd. Syafiq Najwan Salehudin, 9, 
berkata, sejak tinggal di rumah tersebut segala keperluan hariannya kini
 sudah terurus selain dapat menikmati kehidupan dalam sebuah keluarga 
bahagia.
"Setelah hampir setahun saya tinggal di sini, keserasian serta 
keakraban antara kami adik-beradik sudah mula terjalin sekian lama dan 
cukup bermakna buat saya," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Timur | 5 Sept. 2013 | 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan