KOTA BHARU: Kelantan memperluaskan pembangunan dalam bidang pertanian dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat pertanian dari Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau Datuk Che Abdullah Che Mat Nawi berkata kerjasama itu melibatkan Kelantan Biotech Corporation (KBCSB) Sdn Bhd dengan Poothon Agriculture Industrial Co Ltd (Thailand).
"Kerjasama itu lebih menumpukan kepada pemindahan teknologi mikrob khususnya bagi meningkatkan penghasilan dalam sektor pertanian di negeri ini.
"MoU ini dijangka berlaku dalam tempoh masa yang panjang kerana ia merupakan koloborasi ke arah penubuhan Pusat Latihan dan Penyelidikan Bioteknologi untuk tujuan pertanian di Tanah Tinggi Lojing," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan 2013 di sini, Jumaat.
Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Che Abdullah berkata sambutan empat hari bermula 26 Sept itu menawarkan pelbagai produk pertanian kepada pengunjung.
"Sebanyak 96 gerai terlibat dalam sambutan ini yang terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan serta pihak swasta bagi mempamerkan produk mahupun penemuan mereka semasa membuat penyelidikan," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar KBCSB, Zamakhshari Muhamad berkata jalinan kerjasama tersebut dilaksanakan melalui pembinaan sebuah makmal bioteknologi bagi membuat ujikaji serta penyelidikan ke atas keberkesanan produk yang dihasilkan. "Ia akan dilaksanakan di atas tanah seliaan KBCSB seluas empat hektar," katanya.
Beliau berkata kerjasama tersebut turut melibatkan proses pemindahan teknologi, penyelidikan dan pengkomersilan teknologi fermentasi mikrob bagi menghasilkan produk penjagaan tanaman seperti baja organik dan bio kawalan.
Katanya, latihan dan kemahiran penghasilan produk berasaskan teknologi mikrob serta aplikasi pertanian organik turut diberikan kepada pegawai KBCSB.
Sumber: BERNAMA | 27 Sept. 2013 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan